HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 Disember 2018

Apa nasib, kedudukan 3,100 kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia?


TAIPING 10 Dis. - Kesatuan Pekerja-Pekerja Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Semenanjung berharap kerajaan memberi jaminan tidak akan membubarkan AIM.

Presidennya, Ismail Yahya berkata, ini bagi meredakan kebimbangan kira-kira 3,100 kakitangan AIM dan lebih 300,000 peminjam di seluruh negara terhadap kemungkinan AIM dibubarkan.


Menurutnya, laporan bahawa AIM akan dibubarkan memberi kesan kepada kakitangan manakala peminjam khuatir tidak dapat menikmati kemudahan membuat pinjaman seperti mana yang ditawarkan oleh AIM.

“Kakitangan AIM dan peminjam masih berasa bimbang ekoran laporan berita bahawa AIM akan dibubarkan namun berdasarkan maklumat, hanya anak syarikat AIM yang dibubarkan bukannya AIM itu sendiri.

“Saya berharap AIM dikekalkan dan kerajaan memberi jaminan AIM tidak akan dibubarkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Ismail, AIM mempunyai dua anak syarikat iaitu AIM Solution dan Amanah Ikhtiar Sdn. Berhad dan ia bukan syarikat yang mengeluarkan pinjaman.

“AIM memang tak boleh berniaga dan tak boleh tubuh anak syarikat kerana menyalahi prosedur surat cara AIM. Jadi terpulang kepada kerajaan untuk bertindak jika AIM tidak dibenarkan menubuhkan anak syarikat,” katanya.

Menurutnya, jika AIM dibubarkan, ke mana hala tuju kakitangan yang rata-ratanya masih baru berkhidmat.

Beliau berkata, lebih penting ialah nasib para peminjam di seluruh negara yang akan kehilangan sumber untuk membuat pinjaman secara mudah tanpa cagaran dan penjamin.

Katanya, AIM yang ditubuhkan pada tahun 1987 terbukti berupaya meningkatkan taraf hidup rakyat dan berdasarkan penyata kumulatif sejak tahun 1995 hingga Jun lalu, lebih kurang RM20 bilion disalurkan kepada 340,000 peminjam.

“AIM bukanlah isu politik kerana bukan orang Melayu saja yang membuat pinjaman AIM tetapi juga kaum Cina, India dan Siam,” katanya.

Tiada ulasan: