PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan perbincangan dengan pengusaha pasar raya agar tidak menaikkan harga barangan popular pengguna.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbincangan telah diadakan dan ini adalah antara usaha kerajaan untuk terus memastikan kos sara hidup rakyat terjamin.
"Dalam menyentuh tentang isu kos sara hidup, perbelanjaan makanan adalah yang paling tinggi ia mencecah hampir 30 peratus berbanding dengan perumahan dan utiliti sekitar 21 peratus.
"Maka tiga segmen ini menyumbang hampir 70 peratus kepada kenaikan kos sara hidup dan baki 30 peratus adalah kesihatan dan pendidikan.
"Oleh kerana segmen makanan menyumbang terbesar maka kalau nanti perlaksanaan subsidi bersasar yang bakal dinikmati B40 maka perbelanjaan isi rumah di luar lingkungan B40 dijangka akan meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Bicara Makan Tengah Hari - ‘Media dan Kepenggunaan: Perspektif Negara’ di Dewan Serbaguna KPDNHEP hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya.
Saifuddin berkata, item makanan yang paling popular banyak dibelanjakan oleh rakyat seperti makanan segera roti, minyak masak, susu, beras dan tepung.
"Jadi item ini kalau berlaku lonjakan inflasi, pengusaha pasar raya sebenarnya boleh memberi kerjasama dengan tidak menaikkan harga item popular ini.
"Dalam sebuah pasar raya, mereka mempunyai 35,000 hingga 45,000 'stock keeping unit' bagi setiap barangan.
"Jadi kalau pengusaha pasar raya memberi kerjasama dengan tidak menaikkan 40 hingga 50 item popular ini, dia masih ada lagi 34,950 item yang boleh diniagakan," katanya.
Saifuddin memberitahu, dalam masa yang sama KPDNHEP tetap dengan pendirian mengimbangi kepentingan semua pihak dengan tidak melonggarkan polisi semasa yang menetapkan bahawa pasar raya hanya boleh beroperasi di kawasan bandar demi menjaga kepentingan peruncit kecil di kampung.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan