Ini sebuah riwayat seorang wanita yang diabadikan namanya pada sebuah pekan yang pernah dinamakan sebagai Teluk Mak Intan.
Ketika Hugh Low menjadi Residen British di Perak, nama Teluk Mak Intan (atau disebut oleh Hugh Low sebagai ‘Malunting’) ditukar kepada Teluk Anson.
Pada 1982 dianjurkan satu perayaan bagi memperingati genap 100 tahun nama Anson menjadi nama pekan diraja itu. Pada masa itulah dikembalikan nama Mak Intan setelah sekurun ia hilang.
Perayaan Teluk Intan 100 Tahun dianjurkan kerajaan negeri pada masa itu. Dari satu sudut, ia menebus kembali sejarah yang terpesong. Namun dari sudut lain pula, ia adalah manifestasi kekeliruan dalam memahami konsep sejarah nasional.
Hingga kini kekeliruan itu terus berlegar dan bersarang dalam pemikiran masyarakat.
Pada kulit depan majalah Sinar Zaman (Bil 116, Julai 1982) menyebut: "......dengan bangganya memperingati 100 tahun kelahirannya dengan penuh kemeriahan."
Ayat itu menyatakan secara jelas tentang tarikh bermulanya pekan Teluk Intan. Kenyataan itu suatu yang bertentangan dengan sejarah sebenarnya.
Teluk Intan sudah wujud berdekad-dekad lebih awal dari tarikh 1882. Nama-nama petempatan awal seperti Batak Rabit, Durian Sebatang, Kuala Bidor sudah dicatatkan dalam rekod sejarah.
Lebih banyak membawang
Sekarang Teluk Intan ialah sebuah pekan separuh tinggal yang merangkak untuk mengejar pembangunan dan kemajuan.
Teluk Intan adalah sebuah episod sejarah yang ditinggal oleh penghuninya sendiri. Ia bandar yang kehilangan wajah dan tradisi sendiri. Ini adalah tragedi pada sebuah kewujudan bangsa.
Teluk Intan adalah lambang atau identiti pembangunan masyarakat Melayu. Sayangnya, orang Melayu tradisi menulisnya kurang. Yang lebih, tradisi ‘membawang’.
Malangnya orang Melayu lebih ‘membawang’ cerita politik 'kasut dan stokin’ yang tidak membawa ke mana-mana.
Nama Teluk Intan diambil daripada seorang wanita Mandailing yang bernama Mak Intan. Jika mengikut beberapa tulisan dan sumber lisan, Mak Intan ialah saudagar yang cantik serta terkenal.
Jika menurut tradisi orang Mandailing, istilah "intan" bermakna yang dimuliakan, atau yang dituakan dan dihormati. Ini bermakna Mak Intan ialah susuk tokoh masyarakat yang mempunyai taraf penghormatan tinggi.
Nyatalah Mak Intan seorang wanita istemewa. Beliau adalah mercu tanda sebenarnya bandar Teluk Intan. Namun cucu-cicit bangsanya tenggelam dengan bayangan senja menara condong di Teluk Intan.
Saudagar suku Mandailing
Orang Mandailing di bandar Teluk Intan sudah terasimilasi dengan suku kaum lain sehingga budaya dan identitinya sukar ditemui.
Orang Mandailing di daerah Hilir Perak lebih tertumpu di kawasan pedalaman seperti di Chikus, Sungai Tukang Sidin, Sungai Lampam dan sebagainya.
Suku Melayu Mandailing, Kerinchi dan Rawa urban seperti Sutan Puasa atau Abdullah Hukum yang meneroka Kuala Lumpur tidak dicatat di Teluk Intan.
Sedangkan mereka memang terkenal sebagai pedagang berjaya dan peneroka tanah yang hebat.
Besar sungguh jasa Sir Archibald Edward Harbord Anson dalam membangunkan pekan kecil di sebuah teluk di Sungai Perak - dan bernama Teluk Mak Intan - hingga sanggup dipadam nama saudagar wanita suku Mandailing itu daripada dikekalkan sebagai nama tempat tersebut.
Pelawat atau sesiapa saja yang ke Teluk Intan, akan ke mercu tandanya, Menara Condong.
Menara Condong akan dikhabarkan bahawa monumen sejarah itu persis Menara Pisa. Ia binaan senget, namun sengetnya istimewa.
Berbangga sungguh Menara Condong disamakan dengan binaan yang direka oleh Guglielmo dan Bonanno Pisano kelahiran Pisa, Itali.
Jika ke Itali tanpa melawat Menara Pisa, kembara anda dianggap tidak sempurna. Menara Pisa ialah setem pada Itali. Menara Pisa adalah kebanggaan seluruh penduduk Pisa kerana itu adalah hasil tangan orang tempatan sendiri.
Ia adalah binaan agama dan budaya tempatan.
Samalah juga jika melawat Teluk Intan. Ia tidak akan lengkap tanpa melawat Menara Condong yang dikepung Jalan Pasar, Jalan Selat, Jalan Ah Cheong dan Jalan Bandar.
Kedudukannya itulah dijadikan sebagai titik tengah kepada pekan Teluk Intan oleh Jabatan Kerja Raya. Tetapi ia bukan setem buat Teluk Intan. Ia bukan binaan dari tradisi tempatan.
Wajah wanita Mandailing yang cantik itu semakin samar dan menghilang. Tiada siapa yang mahu bertanya dan prihatin. Penduduknya masih mengira bilakah harga sawit, getah dan kelapa naik.
Apalah sangat tentang nasib wanita Mandailing yang telah lama tiada, kan? Nasib kami yang hidup pun masih tidak ketentuan.
DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan