DENYUT REFORMASI
Penasihat DAP, Lim Kit Siang merupakan pemimpin parti yang paling layak
menjadi menteri, kata Setiausaha Agung parti itu Lim Guan Eng.
Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata Kit Siang merupakan anggota
veteran parti yang paling berjasa dan banyak berkorban sepanjang beliau
berkhidmat lebih 50 tahun dalam DAP.
“Beliau (Kit Siang) berjuang bertahun-tahun untuk parti, menghadapi
banyak pendakwaan dan penganiayaan, keluar masuk penjara dan sudah dua
kali kena ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) kerana politik.
“Saya yakin semua ahli pun bersetuju, Lim Kit Siang merupakan orang
paling layak jadi menteri kerana perjuangan beliau, tetapi sayang beliau
tolak untuk beri laluan kepada pemimpin muda,” katanya ketika berucap
di Konvesyen DAP Selangor di sini hari ini.
Pada Mei lalu, Kit Siang dipetik sebagai berkata beliau tidak akan
menyertai kabinet pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana DAP mempunyai
bakat secukupnya untuk berkhidmat dengan kerajaan pusat.
Guan Eng turut menyeru anggota-anggota parti supaya tidak memainkan
sentimen perkauman dan agama seperti mana yang dilakukan oleh
parti-parti pembangkang.
“Kita perlu memberikan keutamaan kepada perpaduan parti, jika kita asyik
memainkan sentimen kaum dan tidak bersatu-padu, maka kita akan terjerat
dalam perangkap parti pembangkang dan mula melemahkan kita.
“Kita tidak mahu mencontohi parti-parti pembangkang yang suka memainkan
sentimen perkauman yang akhirnya memperlihatkan mereka pecah-belah
seperti mana sekarang,” katanya.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Guan Eng meluahkan rasa
terkejut apabila ada pihak yang mahu Malaysia keluar daripada menjadi
anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Sekiranya berlaku, Malaysia akan jadi satu-satunya negara yang tak jadi
Ahli PBB… sedangkan Korea pun ahli PBB, saya tidak faham kenapa mereka
(pembangkang) mainkan sentimen ini,” katanya.
Semalam ketika berucap dalam himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa
Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), pemimpin Umno
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan ‘menyerang’ PBB dengan
mendakwa pertubuhan itu mempengaruhi hala tuju negara.
Dalam pada itu, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua mengumumkan tidak akan
mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang diadakan pada hari
ini.
Pemilihan itu menyaksikan 40 calon bertanding bagi 15 jawatan dalam jawatankuasa DAP Selangor.
— BERNAMA

Tiada ulasan:
Catat Ulasan