Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan menawarkan khidmat pelacuran pada minggu lalu.
Tertuduh Hanani Halidan, 36, yang juga pemilik kedai kucing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Izzuddin Mohd Shukri.
Tertuduh didakwa mencari langganan atau mendesak bagi maksud persundalan di sebuah apartmen di Kota Bharu pada pukul 7.35 malam, 4 Disember lalu.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan kegiatan sekumpulan pelacur yang tiba di Kota Bharu, Isnin lalu terbongkar dalam serbuan pihak polis.
Menerusi serbuan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan itu, suspek menggunakan modus operandi dengan mencari pelanggan melalui aplikasi WeChat.
Kegiatan itu dikatakan dilakukan secara berpindah-randah (nomad) dari lokasi ke lokasi lain mengikut permintaan pelanggan.
Sementara itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah membenarkan jaminan dengan RM4,000 melalui seorang penjamin dan menetapkan 30 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan