SIK - Keprihatinan Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris membantu seorang warga emas yang terlibat kemalangan di simpang tiga Beris Jaya di sini, petang semalam dipuji netizen.

Tindakan Adun Kubang Rotan itu tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi positif.

Pelayar Facebook, Adib Razak menulis, Pemimpin berjiwa rakyat. Alhamdulillah, terbaik bos ku.

Ida Mawaddah pula menulis, Yb macam ni lah, contoh terbaik untuk masyarakat. Alhamdulillah.

Mengulas mengenai insiden itu, Mohd Asmirul berkata, beliau ketika itu dalam perjalanan dari Alor Setar ke Felda Teloi Timur untuk menyaksikan perlawanan bola sepak bawah 12 tahun bersama dua kakitangannya.

“Ketika tiba di lokasi kejadian seorang warga emas didapati terbaring di atas jalan raya akibat kemalangan kira-kira jam 5 petang.

“Kejadian itu baru berlaku, bila lihat keadaan seperti itu kami berhenti untuk berikan bantuan. Saya lihat kakinya patah dan terus hubungi ambulans,” katanya.

Beliau berkata, keputusan untuk hadir ke program seperti dijadualkan terpaksa dilewatkan sedikit bagi menjaga lalu lintas selama kira-kira 20 minit.

“Kereta-kereta semua laju, tengok keadaan itu saya kata tak boleh jadi ni. Kena tunggu juga. Situ ada selekoh, kenderaan lain tak perasan dan bahayakan pakcik tu.

“Terpaksa tunggu situ untuk kawal lalu lintas dan dalam masa sama minta bantuan sekelompok anak muda. Depa ambil kon dan motosikal dan letak di atas jalan supaya kenderaan jauh daripada lokasi pakcik tu terbaring,” katanya.

Mohd Asmirul berkata, sebelum kejadian, beliau yang selesai menghadiri majlis kenduri di Alor Setar ingin pulang ke rumah berhampiran Plaza Tol selatan menggunakan Plaza Tol utara.

“Habis saja kenduri, saya nak balik rumah ambil kereta lain untuk ke sana (Sik).

“Tetapi sampai di Plaza Tol utara, kenderaan sesak. Kad Touch&Go pula tak bawa. Nak guna kad pengenalan tambah nilai nanti susahkan orang belakang,” katanya.

Dalam situasi itu dan mengejar masa katanya, mereka mengambil keputusan undur semula ke belakang dan terus ke Sik menggunakan laluan lama.

“Sampai di tol utara nak solat Zohor surau pula tak ada, terpaksa cari surau lain. Selesai solat, kami terus ke Sik guna jalan lama (Langgar-Pendang-Sik).

“Kelam kabut juga waktu itu, dalam hati apa tak kena hari ini? Nak cepat jadi lambat. Tetapi mungkinlah sebab untuk bertemu dan Pak Cik tu,” katanya.