RTM menyiarkan liputannya berdasarkan nilai
berita yang hendak disampaikan kepada orang ramai, kata Timbalan Menteri
Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.
"Bukan semata-mata berita itu daripada pembangkang atau berita pro kerajaan asalkan maklumat itu mempunyai nilai kepada rakyat kita alu-alukan.
"Bukan perkara-perkara yang bersifat sensitif perkauman provokasi itu kita tak galakkan sama sekali," kata Eddin kepada Malaysiakini ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.
Timbalan menteri mengulas persoalan yang dibangkitkan MP Pontian Ahmad Maslan di Dewan Rakyat hari ini bahawa stesen radio dan televisyen kerajaan itu berat sebelah kepada pembangkang.
Menurut Eddin lagi, kadang-kadang pihak pembangkang menyampaikan maklumat yang tidak mempunyai nilai berita.
"News value tak ada. Bukan untuk menyampaikan maklumat tetapi lebih kepada untuk memprovokasi atau mewujudkan satu keadaan yang boleh menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik dan ancaman keselamatan dan sebagainya," katanya.
Sebelum ini, pada hujung Mei 2018 lalu, anggota kabinet Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah mengeluh berita kerajaan BN negeri tidak disiarkan RTM.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo pada ketika itu berkata beliau yakin pentadbiran Pakatan Harapan tidak menggalakkan atau menyokong pemencilan media.
Beliau mengulas keluhan anggota kabinet Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berita kerajaan BN negeri tidak disiarkan RTM.
Gobind berkata PH komited dengan kebebasan media dan tidak bersetuju dengan amalan pentadbiran sebelum ini mengenai pemencilan media.
"(Abdul Karim) dialu-alukan untuk menulis kepada saya mengenainya secara rasmi jika beliau mahu. Jika beliau melakukannya, saya pasti akan melihatnya," kata Gobind.
RTM dan agensi berita nasional, Bernama di bawah bidang kuasa kementerian Gobind.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan