THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Naib Presiden MIC Datuk C. Sivarraajh kekal sebagai anggota Parlimen Cameron Highlands sehingga proses rayuan berhubung pembatalan kemenangannya di kerusi berkenaan dimuktamadkan Mahkamah Persekutuan, Dewan Rakyat dimaklumkan, hari ini.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ketika mengeluarkan petua berkenaan berkata ia kerana Sivarraajh telah menyatakan hasrat untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya mengenai kemenangannya itu sebelum ini.
Beliau menjelaskan bahawa Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) memperuntukkan bahawa keperluan hakim Mahkamah Pilihan Raya memperaku keputusan kepada SPR dalam masa 14 hari adalah satu kehendak mandatori sebelum keputusan tersebut dianggap muktamad, sekiranya rayuan tidak difailkan.
“Dalam hal ini memandangkan Cameron Highlands menyatakan hasrat mengemukakan rayuan, perakuan tidak akan dikeluarkan Mahkamah Pilihan Raya dan akan dikeluarkan Mahkamah Persekutuan selepas proses rayuan selesai.
“Oleh kerana SPR hanya akan isytihar sesuatu kerusi sebagai kosong selepas terima perakuan dari mahkamah, maka sehingga proses rayuan selesai, Cameron Highlands masih dianggap sebagai Anggota Parlimen,” katanya.
Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan bahawa kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu adalah terbatal dan tidak sah pada 30 Nov lepas, selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan Sivarraajh.
Statusnya itu menjadi tanda tanya pada sidang Dewan Rakyat 5 Dis lepas, yang menyaksikan beliau diminta Mohamad Ariff meninggalkan sidang Dewan Rakyat buat sementara waktu dan mendapatkan nasihat peguam pakar, sebelum petua dikeluarkan hari ini.
Menjelas lanjut, Mohamad Ariff berkata selagi SPR tidak menerima perakuan dari mana-mana mahkamah, maka kerusi berkenaan tidak akan diisytiharkan kosong.
“Jadi Cameron Highlands layak hadir persidangan Dewan Rakyat kerana perkara ini bukan merupakan kekosongan luar jangka yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan kepada SPR, tetapi adalah kekosongan yang disebabkan perintah Mahkamah Pilihan Raya.
“Oleh demikian kuasa adalah pada mahkamah untuk maklumkan kepada SPR,” katanya.
Sebaik selesai petua dibaca, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) bangun mencelah dan mengalu-alukan keputusan yang diumumkan.
“Di dalam hal ini, saya telah menyebutkan bagi pihak anggota-anggota Parlimen pembangkang, keputusan oleh speaker adalah keputusan yang memenangkan rakyat kerana rakyat telah memilih Anggota Parlimen Cameron Highlands dan Anggota Parlimen BN yang lain dan diharap ia menjadi satu panduan kepada semua dan jangan terlalu mengikutkan emosi dalam melakukan keputusan,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad Ariff membidas mengatakan bahawa ia bukan kemenangan rakyat tetapi kemenangan undang-undang.—Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan