SERAMAI 20 lelaki Nigeria didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas empat pertuduhan termasuk merusuh dan menyerang empat pegawai polis di Pangsapuri Flora Damansara, bulan lalu.
Bagaimanapun, semua tertuduh berusia 22 dan 38 itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.
Mereka ialah Onorwu Chimuanyi Vincent, Augustine Ekene Okora, Onyeikpe Uzoma Onyekachi, Ndubuisi Osuagwu, Uchenna Stanley Ayozie, Chibuzo Kingsley Orji, Onyiyedi George Oboduagy, Eberredu Daniel Chima, Okeke Charses, Obilor Macdennis Chinemerem, Osuji Chimobi, Chinedu Aligwe, Kabuye Christian, Nwokenna Tochukwu Nwabueze, Chibuzo Goodluck, Okeke Chinedu Darling Ton, Charlse Uche Anyanwy, Ususledrock Onyedikachi, Mathew Kelechi Cletus dan Anoka.
Terdahulu, semua tertuduh yang dibawa menggunakan Black Maria tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya jam 10 pagi dengan dikawal ketat anggota polis.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, 10 tertuduh iaitu Onorwu, Augustine, Onyeikpe, Ndubuisi, Uchenna, Chibuzo, Onyiyedi, Eberredu, Okeke dan Obilor didakwa mengganggu ketenteraman awam dengan melakukan rusuhan, menyebabkan kecederaan kepada empat pegawai polis dan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan pegawai polis.
Bagi kesalahan melakukan rusuhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan empat pegawai polis ketika bertugas, mereka didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah yang boleh dikemukakan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bawah Blok F, Flora Damansara, 11.12 malam, 28 pada Julai lalu.
Selain itu, semua tertuduh turut didakwa mengikut Akta Imigresen.
Enam daripada mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, 14 individu pula didakwa tinggal di Malaysia tanpa apa-apa permit yang sah di bilik sebuah hotel, jam 12.20 malam, 29 Julai lalu dan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang juga boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama.
Pada prosiding itu, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili tiga peguam M Tharuma Ratnam, Siti Rohaya Mohd Tajuddin dan Dinesh Ramachandran.
Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir tidak membenarkan jaminan ke atas semua tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 September depan.
Terdahulu, empat pegawai polis cedera diserang sekumpulan lelaki warga asing polis ketika membuat serbuan di Flora Damansara berkaitan berhubung kes penipuan, pada 25 Julai lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan