Syor konsep kongsi keuntungan yang selia semua tanah pekebun kecil

BANGI–
Kerajaan disyor melaksanakan satu program yang lebih holistik seperti berkongsi
keuntungan bagi menangani isu pemansuhan Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil
(TSSPK).
Pengarah
Gerakan Pengundi Sedar (GPS), Muhammad Assiddiq Fauzan berkata, konsep ‘profit
sharing’ atau berkongsi keuntungan yang menyelia semua tanah pekebun kecil,
wajar diperkenalkan agar mengikuti spesifikasi dan piawaian supaya
benar-benar produktif.
Pun
begitu, beliau berkata, tugas penyelia tanah ini tidak sepatutnya diberi kepada
syarikat-syarikat gergasi swasta, tetapi perlu diselia oleh agensi di bawah kerajaan
seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Sebelum
ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan Skim Tanam Semula Sawit
Pekebun Kecil bagi membantu pekebun kecil melakukan penanaman semula.
Mereka
yang layak, menerima bantuan kewangan sebanyak RM7,000 bagi setiap hektar yang
diusahakan di bawah skim TSSPK berkenaan.
Bagaimanapun,
kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebaliknya memperkenalkan dua skim iaitu Skim
Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah
Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS).
Menteri
Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan
kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana
mahu bersikap adil kepada semua pihak.
Mengulas
perkara itu, Assidiq berkata, kita sedia maklum kebanyakan pekebun kecil adalah
pekebun yang berumur dan mungkin ada yang kurang produktif.
“Bagaimanapun
kita tidak boleh mengambil jalan mudah dengan ‘menghukum’ mereka sebegini kerana
kebanyakan mereka bercucuk tanam untuk survival hidup yang cukup-cukup makan
sahaja, bukan ke arah komersial.
“Pekebun-pekebun
kecil ini majoritinya adalah dari kalangan Bumiputera. Tanpa apa-apa alternatif
kepada skim bantuan sedia ada, sebenarnya langkah menghapuskannya adalah tidak
adil, satu langkah separuh masak dan simplistik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan