HALAMAN SANTAI

Jumaat, 9 Ogos 2019

MB selamat kerana isu tak meletus

MALAYSIAKINI

   

Satu komplot dikatakan untuk menyingkirkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari tidak menjadi selepas isu sensitif berhubung cadangan pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak - yang berpotensi memecahkan Pakatan Harapan - dileraikan. 

Walau bagaimanapun, Amirudin memberi petunjuk bahawa terdapat kemungkinan bahawa rang undang-undang itu boleh dibentangkan semula.

Kedudukannya dikatakan masih goyah, lebih-lebih lagi selepas beliau membuat kenyataan mengenai skandal video seks yang mencetuskan kemarahan penyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Seorang penyokong PKR di Selangor yang menghubungi Malaysiakini mendakwa terdapat akuan berkanun (SD) yang mencukupi untuk menunjukkan Amirudin tidak lagi mendapat sokongan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada pertemuan semalam, ahli PKR, yang enggan namanya disebut, berkata rampasan kuasa itu akan disokong oleh sekurang-kurangnya sembilan anggota PKR, 16 daripada DAP, lapan daripada Amanah, dan tiga daripada Bersatu.


Ini menjadikan jumlahnya sebanyak 36 Adun, lebih daripada 29 yang diperlukan untuk majoriti mudah.

Sumber itu mendakwa Anwar menyedari perkembangan berkenaan tetapi mengarahkan mereka supaya tidak berbuat apa-apa sehingga beliau kembali selepas menunaikan fardu haji.

Bagaimanapun, pembantu Anwar menafikan dakwaan itu.

Menurut sumber, pembelotan terhadap Amirudin disebabkan terutamanya oleh perbezaan pendekatan dalam program kebajikan Selangor iaitu program Inisiatif Peduli Rakyat.

Sumber itu juga menunjukkan akuan berkanun yang belum ditandatangani yang menjanjikan sokongan kepada Adun Ijok Dr Idris Ahmad untuk mengambil alih jawatan sebagai menteri besar.


Nama Idris memang disebut-sebut sebagai calon menteri besar yang berpotensi sebelum Amirudin mengambil alih daripada mentor dan timbalan presiden PKR, Azmin Ali selepas pilihan raya umum lalu.

Idris ketika dihubungi, mendakwa beliau tidak tahu-menahu tentang perkembangan berkenaan.

"Saya tidak tahu (tentang jadi menteri besar), ini cerita yang disebarkan oleh Umno dan BN untuk melemah dan memecahkan PH Selangor. Tak ada komen lain," katanya kepada Malaysiakini.

Peluang terbaik menyingkirkan Amirudin adalah apabila wujudnya perbalahan menteri besar dengan speaker DUN Selangor Ng Suee Lim susulan cadangan pindaan enakmen negeri itu kerana tanpa sokongan DAP, rancangan itu tidak akan berjaya.

Amirudin didakwa cuba membentangkan enakmen penukaran agama secara sepihak walaupun mendapat tentangan kuat dari penyokong PH, termasuk anggota exconya.

Ng kemudian dilaporkan mengketepikan rang undang-undang itu dengan menolak untuk menandatangani sebuah dokumen untuk ia dibentangkan. Beliau kemudian mengakhiri sidang DUN Selangor lebih awal tetapi kemudian menafikan ini berkaitan dengan pindaan berkenaan.


Berikutan itu, timbul dakwaan bahawa penyokong menteri besar di kalangan PKR sedang mempertimbangkan untuk menggantikan Ng, yang merupakan Adun DAP selama empat penggal sebagai speaker.

Sebagai tindak balas, pemimpin DAP secara terbuka mengumumkan sokongan penuh mereka kepada Ng, dengan seorang Adun mengatakan parti itu akan mempertahankannya habis-habisan.

Malam semalam, sumber DAP mengesahkan kepada Malaysiakini mereka telah didatangi oleh kumpulan anti-Amirudin.

"Satu gerakan sedang diusahakan oleh kumpulan lain, tetapi ia gagal jadi kenyataan.

"Kami tidak kata 'ya', kami hanya (ambil pendekatan) tunggu dan lihat. Jika kamu (Amirudin) tidak sentuh kami (seperti bertindak terhadap speaker), mengapa kami akan sentuh kamu?” kata sumber itu.


Wakil DAP itu juga memberi bayangan bahawa ketegangan mereka dengan Amirudin reda selepas wakil PH bertemu menteri besar di kediamannya di Shah Alam petang semalam.

Ini kemudian disusuli dengan kenyataan bersama yang menyatakan sokongan kepada kedua-dua menteri besar dan speaker.

Begitu juga, kata sumber itu, terdapat perkembangan positif dengan istana Selangor - yang menyokong enakmen penukaran agama secara sepihak yang dicadangkan oleh Majlis Islam Selangor (Mais) - telah berkongsi perjumpaan empat exco kerajaan negeri dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah di media sosial.

Sumber Bersatu, yang hadir pada pertemuan pemimpin PH di kediaman menteri besar, berkata mereka dimaklumkan bahawa baginda sultan memahami mengapa enakmen itu tidak dibentangkan dan kerumitan di sebaliknya.

Ditemui wartawan semalam, Amirudin dan Ng bersetuju Selangor tidak bergolak dan tiada sebarang keretakan di pihak kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, kedua-dua mereka saling menunjukke arah satu sama lain apabila ditanya mengapa enakmen berkenaan tidak dibentangkan.

Amirudin menambah ketika ini memang ada pertikaian untuk tafsiran mengenai kebenaran yang diperlukan oleh seseorang remaja memeluk Islam dan berjanji jika ada kepentingan, beliau akan membentangkannya semula.

Pada masa ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran "ibu dan bapa" sebelum memeluk Islam. Pindaan itu untuk mengubahnya kepada "ibu atau bapa".


Versi bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan juga merujuk “ibu atau bapa” berkaitan penukaran agama.

Walau bagaimanapun, mahkamah persekutuan selaku mahkamah tertinggi di negara ini tahun lalu membuat keputusan penting dalam kes M Indira Gandhi bahawa perlembagaan tidak boleh ditafsirkan secara harfiah, dan persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan untuk penukaran anak-anak di bawah umur.

LIHAT FB DI SINI


*Laporan oleh Annabelle Lee, Lee Way Loon, Lu Wei Hoong, dan Zikri Kamarulzaman

Tiada ulasan: