Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin
menganggap polemik tentang tulisan jawi yang timbul adalah disebabkan
oleh rasa fobia masyarakat bukan Islam terhadap “apa-apa yang dianggap
mempunyai hubungan dengan Islam”.
“Kita menyatakan dia tak ada hubungan (dengan agama). Macam songkok, di India pakai, nabi (Muhammad SAW) tak pakai songkok. Baju Melayu, samping, bukan mewakili agama. Ia pakaian melayu.
“Tulisan Jawi itu ialah tulisan bangsa Melayu, tapi sebahagian mereka (bukan Islam) anggap seolah-olah cuba mengislamkan mereka. Ini yang salah.

Isu tulisan Jawi menjadi kontroversi bulan lalu apabila cadangan kerajaan memperkenalkan tulisan jawi dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Malaysia di sekolah mendapat tentangan akar umbi DAP dan NGO Cina.
Semalam Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah dilaksanakan secara pilihan dan guru diberi kuasa menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya.
Jumlah muka surat yang melibatkan tulisan Jawi juga dikurangkan berbanding cadangan asal, menjadi hanya tiga muka surat daripada enam.
Jawi ada pengaruh Parsi
Asri berkata, tulisan Jawi tidak sepatutnya dilihat mewakili agama Islam kerana selain diasaskan daripada huruf Arab, ia turut mempunyai pengaruh Parsi terhadap beberapa huruf yang tiada dalam sistem huruf Arab.
“Kalau tak, kita tulis rumi itu kita jadi agama Kristian pula. [...] Apa yang menunjukkan agama ialah apa yang ditulis, bukan huruf yang (digunakan) menulis. (Seperti) Hebrew, pernah menjadi bahasa kitab suci, bahasa Taurat. Bahasa Greek pernah dijadikan bahasa utama kepada Bible.
“Huruf tak mewakili apa-apa. Di negara Arab, Bible (ditulis) dalam bahasa Arab. Penyanyi-penyanyi rock dan dangdut Arab menyanyi dalam bahasa Arab. Kita dengar, masya-Allah ustazah ini menyanyi tak pakai tudung. Bukan (ustazah), itu penyanyi rock.
“Lagu-lagu, buku-buku yang menentang Islam di kalangan orang Arab, dalam bahasa apa? Bahasa Arab,” jelasnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan