HALAMAN SANTAI

Ahad, 11 Ogos 2019

Khutbah: Hayati roh korban

MALAYSIAKINI

   

Masjid-masjid di Selangor hari ini berpesan supaya umat Islam menghayati roh pengorbanan jika mahu keluar daripada belenggu pelbagai masalah yang membelenggu umat Islam kini.

Untuk itu, kata khatib, umat Islam perlulah sanggup berkorban masa dan wang ringgit untuk menunut ilmu bagi memantapkan pegangan akidah dengan akidah Islam yang sebenar, agar terselamat daripada dipengaruhi ajaran sesat dan pemikiran liberal yang membawa kemurkaan Allah SWT.

“Dalam masa yang sama kita perlu sama-sama mengorbankan masa dan tenaga, memastikan masyarakat kita terutamanya generasi muda agar tidak terjerumus ke dalam keruntuhan akhlak seperti LGBT, penagihan dadah, ponteng sekolah, buli dan seumpamanya," kata mimbar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Selain itu, umat Islam diingatkan agar berusaha memperolehi harta yang lebih dengan pekerjaan halal, serta mengelakkan perpecahan sesama rakyat.

“Sekiranya semangat ini dihayati oleh umat Islam sudah pasti mereka tidak menjadi bangsa yang miskin, mundur dan lemah, bahkan akan muncul sebagai umat yang mulia dan dihormati.

“Ibadah haji juga mengajak umat Islam supaya menghayati semangat kesetuan berteraskan ketauhidan kepada Allah SWT, mengelak perpecahan sekalipun berbeza bangsa dan warna kulit,” pesan khatib lagi.

Jangan dingin dengan ibadat korban

Sementara itu, khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula menyeru umat Islam yang menunaikan solat sunat hari raya di masjid-masjid Kuala Lumpur agar tidak bersikap dingin dengan ibadat korban.

Kata khatib, ibadat korban yang berasal daripada kisah pengorbanan agung Nabi Ibrahim dan Ismail, lalu disyariatkan dalam ibadah korban binatang ternakan, tidak membawa apa-apa erti jika umat mempamerkan sikap dingin terhadap ibadah itu walaupun mereka sebenarnya berkemampuan.

“Kita dituntut untuk berkorban bermula dari pengorbanan harta yang kita miliki sebagai menjayakan Aidil Adha sebagai langkah mula sebelum mempersembahkan korban yang lebih besar setelah menyempurnakan ketaatan.

“Jumhur ulama berpendapat bahawa hukum ibadah korban adalah sunat muakad dan besar ganjaran pahalanya. Begitulah sinonimnya agama ini dengan pengorbanan,” kata khatib sambil mengingatkan jemaah betapa Rasulullah sendiri memandang serius akan ibadah korban.

Selain itu, khatib turut menjelaskan hikmah ibadah korban, iaitu menyemai ketaqwaan kepada Allah, menghayati dan meraih ganjaran ibadah korban, dan membentuk jiwa berkorban dan mengasihi insan lain, yang dipaparkan dalam bentuk agihan daging korban kepada insan lain yang serba kekurangan.

“Imam Asy-Syafie menganjurkan agar orang yang menyembelih korban tidak mengambil lebih dari satu pertiga daging korban tersebut, satu pertiga diagihkan kepada kaum kerabat dan satu pertiga untuk fakir miskin.

“Oleh itu dalam proses pengagihan daging korban perlulah dipastikan semua fakir miskin di kariah kita diutamakan dalam senarai penerima agihan daging,” ucap khatib.


Tiada ulasan: