HALAMAN SANTAI

Ahad, 11 Ogos 2019

Mangsa ribut Kedah sambut Aidiladha ala kadar

MALAYAIAKINI

   

Sebuah keluarga dari Kampung Gulau, Mukim Lesong dekat Pokok Sena menyambut Hari Raya Aidiladha secara “ala kadar” selepas rumah mereka rosak teruk akibat dilanda ribut kelmarin.

Nazri Bakar, 38, berkata ekoran bumbung rumah ibunya diterbangkan angin kuat menyebabkan perkakasan rumah dan barangan elektrik rosak terkena air hujan sehingga mengalami kerugian kira-kira RM6,000.

“Kejadian yang berlaku kira-kira 8.45 malam itu adalah kali pertama menyebabkan saya sekeluarga tidak dapat membuat persiapan yang rapi dan sambutan esok secara ‘ala kadar’ dan serba kekurangan,” katanya kepada Bernama semalam.

Nazri yang tinggal di Naka dekat Kuala Nerang bersama isteri Rohana Ismail, 30, dan empat anak berusia satu hingga 11 tahun tiba di rumah ibunya petang kelmarin untuk beraya bersama adik- beradik yang lain tahun ini.

“Angin cukup kuat, sekelip mata sahaja bumbung rumah tercabut dan kami sembilan beranak termasuk mak, ayah dan seorang adik lelaki lari keluar dari rumah untuk berlindung di tempat yang selamat,” katanya.

Nazri berkata setakat petang semalam, hujan lebat berserta angin kuat masih berlaku sehingga tidak sempat untuk membaiki bumbung rumah.

Kejadian ribut malam kelmarin di Kedah menyebabkan kira-kira 560 buah rumah di 11 daerah di Kedah mengalami pelbagai kerosakan termasuk bumbung tercabut diterbangkan angin kuat.

Seorang wanita maut selepas terjatuh daripada motosikalnya sebelum digilis sebuah kereta akibat terkena zink yang diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut di hadapan Masjid Sharifah Fatimah, Batu 13 dekat Jitra.

Mangsa, Marziah Che Omar, 27, yang cedera parah pada anggota badan meninggal dunia di tempat kejadian.- Bernama


Tiada ulasan: