Ada di kalangan anggota Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) didakwa menerima rasuah untuk meluluskan pemerikaaan kenderaan yang tidak selamat digunakan di jalan raya, kata sumber.
Menurut sumber yang dipetik portal FMT, pemeriksa kenderaan tersebut mampu meraih jumlah suapan sekitar RM200 hingga RM1,000 bergantung kepada tahap kerumitan masalah sesuatu kenderaan.
Sumber tersebut berkata, amalan itu tidak dapat dihidu kerana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang digunakan ketika pemeriksaan sering kali gagal berfungsi atau lensa CCTV kadang-kala 'disapu habuk bagi mengaburi rakaman'.
“Kadangkala kamera mudah alih digunakan, tetapi ia tidak disasarkan dengan betul atau digunakan secara terpilih,” dakwanya.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail menolak dakwaan tersebut dengan mengatakan pusat pemeriksaan kenderaan tersebut telah menambahabaik perkhidmatannya dengan meminimumkan campur tangan manusia dalam proses pemeriksaan tersebut.
Jelasnya, rakaman kamera bagi setiap pemeriksaan di luar bangunan turut disalurkan ke sistem pemantauan pusat di ibu pejabat syarikat itu di Shah Alam sebelum mana-mana kenderaan diluluskan untuk digunakan di jalan raya.
“Kakitangan di ibu pejabat tidak tahu kenderaan mana yang akan diperiksa seterusnya,” katanya.
Pada masa sama, katanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga melakukan pemeriksaan mengejut ke atas pegawai Puspakom.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan