Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa Pakatan Harapan (PH) agar menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi untuk meneliti sebarang dasar kerajaan sebelum ia diumumkan kepada orang ramai.
Pengerusi PSM Dr Jeyakumar Devaraj berkata, dasar dan inisiatif kerajaan yang menyentuh soal bahasa, agama dan pendidikan perlu melalui jawatankuasa itu dahulu sebelum menteri dibenarkan membuat pengumuman.
Cadangan itu susulan reaksi yang didepani kerajaan PH selepas pengumuman pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular serta rancangan kerajaan Selangor untuk membentangkan pindaan enakmen yang akan membuka jalan untuk penukaran agama sepihak.
Menurut Jeyakumar, PSM menyokong idea agar masyarakat Malaysia yang berbilang kaum saling mempelajari budaya masing-masing, tetapi pengenalan tulisan Jawi tanpa rundingan sewajarnya boleh melebarkan jurang antara kaum.
"Adakah (Menteri Pendidikan) Maszlee Malik tahu ramai ibu bapa bukan Melayu risau akan adanya kecenderungan Islamisasi terhadap anak-anak mereka yang belajar di sekolah kerajaan?
"Dengan mengambil kira hal ini, cadangan khat hanya meningkatkan rasa curiga di kalangan sebahagian mereka berkenaan "Islamisasi" oleh kerajaan.
"Kemudian kerajaan Selangor pula cuba membawa rang undang-undang membenarkan penukaran agama secara sepihak oleh ibu atau bapa. Walaupun masalah ini hanya memberi kesan kepada segelintir pasangan untuk sepuluh tahun ini, ia adalah isu yang diperkatakan secara meluas dan melibatkan emosi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, perkembangan itu mengecewakan memandangkan PH dipilih orang rakyat yang berharap mereka dapat membina "masyarakat yang lebih adil dan harmoni".
"Apa sudah jadi PH? Ada pihak berspekulasi bahawa isu etnik ini dibuat untuk melemahkan parti komponen tertentu, dan/atau mengalihkan perhatian daripada isu yang membabitkan sesetengah pemimpin.
"PSM ingin menasihatkan Majlis Presiden PH agar mewujudkan jawatankuasa peringkat tertinggi untuk meneliti semua dasar dan inisiatif baru melibatkan isu bahasa, agama dan pendidikan sebelum membenarkan menteri bertanggungjawab untuk membuat pengumuman," katanya lagi.
Pada masa sama, Jeyakumar menggesa orang ramai yang tidak setuju dengan langkah Kementerian Pendidikan dan kerajaan Selangor itu agar lebih berhati-hati dalam kata-kata mereka.
"Anda ada hak untuk membantah keputusan yang tidak dirangka dengan baik, tetapi ia tidak memberi lesen untuk mengecam mana-mana kaum atau agama," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan