HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Ogos 2019

Mahkamah batal kemenangan bekas menteri Anifah di Kimanis

Peguam, Tengku Fuad Ahmad berkata, Anifah Aman akan memfailkan
 rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan hari ini. 
(Gambar Bernama)
 
KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya hari ini mengisytiharkan kemenangan bekas menteri luar, Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum ke-14 tahun lalu tidak sah dan terbatal.

Hakim, Lee Heng Chung memutuskan 284 undi tambahan di sebuah pusat mengundi dan 57 undi tambahan di sebuah lagi pusat mengundi mempunyai unsur manipulasi yang melanggar undang-undang pemilihan.

Beliau mendapati undi tambahan itu ialah faktor yang menjejaskan keputusan di Kimanis dan Suruhanjaya Pilihan Raya melanggar Seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya, oleh itu pilihan raya kecil perlu diadakan di kerusi berkenaan.

Peguam, Tengku Fuad Ahmad yang mewakili Anifah memberitahu FMT, mereka akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Nampaknya hakim sudah membuat sejumlah kesilapan dalam penghakimannya, khasnya apabila kami tidak tahu sama ada undi tambahan memihak kepada Anifah atau Karim Bujang yang memfailkan petisyen pilihan raya.

“Untuk memenuhi Seksyen 32(b), anda perlu menunjukkan Karim akan menang, jika bukan kerana undi tambahan itu. Kami akan mengemukakannya dalam rayuan.”

Mahkamah bagaimanapun menolak kes rasuah terhadap Anifah dengan memerintah Karim membayar kos RM105,000.

Anifah yang merupakan bekas pemimpin Umno memenangi kerusi Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi, selepas meraih 11,942 undi, manakala Karim yang mewakili Warisan mendapat 11,786 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang sekadar memperoleh 1,300 undi.

Anifah meninggalkan Umno pada 18 September 2018.

Tiada ulasan: