Akta Industri Perkhidmatan Air (AIPA) 2006 memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 20 tahun ke atas pihak yang mencemarkan sungai, anak sungai, suak, laut, tasik, air bawah tanah, empangan, takungan, longkang, parit dan laluan air.
Jika perbuatan mencemar sumber air tidak melibatkan kematian, maka hukuman rotan boleh dikenakan.
Pengerusi SPAN, Charles Santiago yang mengakui hukuman mati bukanlah penyelesaian kepada isu tersebut, sebaliknya mencadangkan hukuman penjara seumur ke atas pesalah berikutan perdebatan sama ada hukuman mati patut dimansuhkan di negara ini.
Beliau juga mencadangkan hukuman penjara dan denda lebih berat dengan berkata, jumlah denda yang dikenakan oleh mahkamah sekarang “mampu dibayar”, sementara denda berjumlah beberapa juta ringgit boleh menghalang perbuatan sedemikian.
Baru-baru ini, aktivis alam sekitar Saha Deva berkata, penguatkuasaan yang lemah harus dipersalahkan berikutan beberapa kes kontaminasi atau pencemaran air, selain faktor rasuah dan fokus kepada keuntungan berbanding kemapanan.
Katanya, beliau tidak pernah mendengar hukuman mati pernah dikenakan walaupun AIPA merupakan satu “undang-undang yang sangat berkuasa” yang boleh memberi kesan besar ke atas usaha memulihara sumber air negara.
Saha mendakwa agensi kerajaan yang terbabit dalam hal ehwal alam sekitar tidak mempunyai keazaman tinggi bagi memperjuangkannya.
Santiago yang mempertahankan SPAN berkait kritikan terhadap dasar penguatkuasaannya berkata, hukuman mati tidak dikenakan kerana tidak berlaku kematian yang disebabkan oleh pencemaran air.
Beliau berkata, terdapat syarat ketat di bawah undang-undang dan setiap kes hendaklah dibuktikan berdasarkan fakta.
Beliau juga berkata, SPAN merancang untuk memperkenalkan pendidikan mengenai pemuliharaan air di sekolah rendah dan menengah, selain melancarkan program kesedaran besar-besaran bagi mendidik masyarakat supaya melindungi sumber air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan