Oleh Fazleen Safina
Graduan Kelas Pertama Master UK kongsi 'rahsia' kejayaan
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aqilahton
Hainee Abas
BANGI– Benarlah kata pepatah, hujan emas di negara orang, hujan batu di
negara sendiri. Tetapi, lebih baik hujan batu di negara sendiri.
Itulah
pengalaman yang dikongsikan aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aqilahton
Hainee Abas ketika berkongsi jerih perih sepanjang dua tahun menuntut di
University of Nottingham, United Kingdom.
Menjadi
seorang mahasiswa di negara orang, apatah lagi negara tidak mempunyai majoriti
penganut agama Islam bukanlah sesuatu yang mudah, malah menuntut pelbagai
pengorbanan demi mencapai segulung ijazah yang diimpikan.
Namun, di
sebalik setiap kesukaran itu pastinya akan diganti dengan ‘pelangi’, apabila
anak kelahiran Kuala Lumpur ini berjaya meraih Ijazah Sarjana Kelas Pertama
Farmasi.
Beliau
ketika dihubungi Ismaweb.net, meluahkan rasa syukur atas kejayaan itu yang
dianggap ‘hadiah’ paling bermakna bukan hanya untuk dirinya sendiri, bahkan
juga kedua ibu bapa yang tidak putus mendoakan.
Ditanya
mengenai rahsia pencapaiannya itu, Aqilah berkata, kunci utama kejayaan
pastinya bermula daripada hubungan dengan Allah yang sangat penting untuk
dijaga.
“Saya
mengakui untuk sentiasa solat di awal waktu agak sukar kerana jadual kelas yang
tidak mengikut waktu solat kita, dan apabila musim di sini berubah, waktu solat
juga berubah.
“Pun
begitu, saya dan kawan-kawan selalu keluar kelas untuk ‘curi-curi’ solat, dan
bawah tangga yang sunyi itulah jadi ‘surau’ kami. Biarlah terlepas beberapa
minit lecture pun, yang penting solat terjaga. Tetapi, jika tiada kelas saya
cuba solat pada awal waktu,” katanya.
Bercerita
lagi mengenai cabaran di sana, anak ketiga daripada empat beradik ini berkata,
bulan Ramadan adalah ‘tempoh kritikal’ bagi pelajar muslim di UK, apabila Subuh
seawal jam 3 pagi, dan Maghrib pada jam 9 malam.
“Tetapi,
alah bisa tegal biasa. Walaupun berdepan cabaran sebegitu, Ramadan kami
tidaklah berlalu begitu sahaja. Kami masih memanfaatkan bulan itu sebaiknya
dengan pelbagai aktiviti seperti tadarus dan solat terawih berjemaah.
“Mungkin
bagi pelajar bukan muslim, masa begitu mereka tumpukan dengan belajar dan
tugasan sebagai mahasiswa. Tetapi, saya percaya penyusunan jadual seharian
sangat membantu untuk menunaikan dua tugas di dunia dan untuk akhirat juga,”
katanya.
Aqilah
berkata, jika ingin berjaya, faktor utama yang mesti dititikberatkan adalah
pengurusan masa bagi memastikan setiap apa yang dirancang dilaksana sebaiknya.
“Saya
memiliki buku nota perancangan (planner) setiap tahun bagi menulis due date
coursework (tarikh hantar tugasan), serta tarikh-tarikh penting lain supaya
saya dapat memastikan semua kerja dan urusan luar (seperti Isma) dapat
disiapkan dengan baik.
“Tambah
pula, saya juga aktif dengan pelbagai program Isma di UK. Jadi perancangan dan
jadual kerja yang efektif sangat penting untuk saya menguruskan semua
tanggungjawab saya sebaiknya,” katanya.
Katanya,
beliau juga sangat ‘pantang’ dengan sikap menangguhkan tugasan yang diberi,
apatah lagi untuk menyelesaikannya di saat-saat akhir sehingga menjejaskan
kualiti kerja itu.
Selain
itu, Aqilah berkata, beliau turut mempunyai kumpulan belajar sendiri dan setiap
ahli diberikan tugas masing-masing untuk menyiapkan nota bagi sebarang topik.
“Jadi, cara ini lebih efektif dan menjimatkan masa
daripada buat semua nota sendiri. Semua orang akan baca nota yang sudah
disiapkan, dan jika ada yang tidak faham, kami boleh tanya ahli yang sediakan
nota berkenaan.
“Malah,
beberapa hari sebelum peperiksaan, kami akan berkumpul dan belajar bersama.
Kami ada banyak ujian lisan, jadi kami ‘practice’ sama-sama.” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan