UMNO ONLINE
TANJUNG MALIM– Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan seluruh jentera parti agar tidak memandang ringan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim 29 Ogos nanti.
Menurut beliau walaupun PRK kali ini Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon namun kehadiran calon Bebas tidak boleh dipandang mudah dan ianya sama sekali berbeza dengan PRK DUN Chini baru-baru ini.
“Calon BN yang diwakili oleh Mohd Zaidi Aziz akan ditentang oleh parti baharu daripada perpecahan Bersatu, kita berharap walaupun tidak ada parti secara rasminya PH bertanding, kita jangan ambil mudah. Jentera BN, Muafakat Nasional (MN), Perikatan Nasional (PN) tidak boleh memandang ringan pertandingan PRK ini kerana tidak macam Chini. Di Chini walaupun bebas dan tidak sebebas mana tetapi tidaklah didukung sebegitu kuat PH.
“Tetapi kali ini saya rasa calon daripada ‘Bersatu Blackout’ ini akan dibantu oleh PH dan kita harap jentera kita supaya jangan leka, sentiasa berwaspada menjalankan tugas sehingga tarikh akhir dan kita keluarkan seramai mungkin pengundi kita mengikut aturan yang dibuat oleh SPR,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu sebelum itu beliau dan pimpinan lain bersama-sama di perkarangan Pejabat UMNO bahagian Tanjung Malim sebelum calon BN bergerak ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Gemilang, Majlis Daerah Tanjung Malim.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO seterusnya menjelaskan pendekatan kempen akan sama sepertimana pada PRK DUN Chini yang berasaskan SOP Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Pendekatan kempen akan sama sepertimana di Chini atas ‘template’ SOP yang diberikan oleh SPR. Kita tidak akan mengadakan ceramah-ceramah besar tetapi lebih kepada pergi rumah ke rumah dan berjumpa dengan seramai mungkin pengundi dan jentera mesti kenal pasti dan pastikan pengundi yang dikenalpasti dibawa keluar nanti pada hari mengundi,” ujarnya.
Calon BN Mohd Zaidi Aziz, akan ditentang dua calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang bakal diadakan pada 29 Ogos nanti.
Pegawai Pengurus PRK itu, Shamsul Ridzuan Idris mengumumkan dua calon Bebas tersebut ialah Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, dan Santhara Sekaran Subramaniam. – UMNO Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan