HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Oktober 2020

Pentadbiran kerajaan Terengganu kini lebih baik, kata PPBM

Pengerusi PPBM Terengganu Razali Idris (kiri) berkata, kerajaan Terengganu 
yang diterajui Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar lebih terbuka dalam kerjasama 
dengan parti rakan yang membentuk kerajaan PN serta ikhlas dalam memastikan kebajikan 
dan pembangunan rakyat.
 

PETALING JAYA: Kerajaan Terengganu di bawah pentadbiran PAS yang diterajui oleh Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar adalah lebih baik berbanding dulu.

Pengerusi PPBM Terengganu, Razali Idris membuat pengakuan itu selain berkata, antara kelainan corak pentadbiran yang dapat dilihat ialah sikap PAS yang lebih terbuka dalam kerjasama dengan semua parti rakan yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta ikhlas dalam memastikan kebajikan dan pembangunan rakyat negeri itu terpelihara.

“Pada saya PAS memerintah Terengganu dengan lebih baik daripada kerajaan terdahulu.

“Kita nampak ada pembaharuan dengan corak pemerintahan membawa kepada pembangunan negeri.

“…kalau dulu kita berselisih antara PAS, Umno dan PPBM. Sekarang nampak di peringkat atas ada penyatuan,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas pencapaian Terengganu di bawah pentadbitan PAS sejak memenangi negeri itu pada Mei 2018.

Ditanya dari segi peruntukan yang diberikan oleh kerajaan Terengganu kepada kawasan yang dimenangi parti rakan, Razali berkata, berdasarkan maklum balas yang diperolehinya ia dilakukan dengan baik.

“Dari segi peruntukan yang diberi saya dengar khabar tiada masalah. Macam kami PPBM, kita tidak ada apa-apa nak komen sebab kita tidak ada wakil rakyat di DUN. Dulu kita lawan mereka (PAS) sebab itu kita tidak dapat 1 pun kerusi,” katanya.

Selain itu Razali berkata, antara kelainan yang ditonjolkan oleh kerajaan kali ini termasuklah langkah melantik Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terdiri daripada wakil ketiga-tiga parti walaupun Umno dan PPBM tewas dalam pilihan raya umum lepas.

“Apabila Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) ditukar kepada JPKK, kita akan bincang. Menteri besar bersetuju JPKK yang baru diwujudkan ini merangkumi 3 parti yang ada dalam PN,” katanya.

Samsuri sebelum ini memaklumkan bahawa komposis ahli JPKK dari kalangan ahli PAS, Umno dan PPBM akan mula dibentuk bermula Januari 2021.

Dalam pilihan raya umum lalu, PAS memenangi 22 daripada 32 kerusi di DUN Terengganu mengalahkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai oleh PPBM ketika itu.

Susulan penjajaran semula politik di Putrajaya pada Mac lepas, yang membawa kepada pembentukan kerajaan PN, 3 parti utama orang Melayu, iaitu PAS, Umno dan PPBM, membentuk gabungan politik baru.

Walaupun merupakan sekutu di peringkat persekutuan, namun di negeri Terengganu, Umno secara lantang kerap mengkritik pentadbiran PAS.

Ini termasuk insiden terbaru melibatkan Adun Kijal, Ahmad Said yang mempersoalkan keikhlasan kerjasama dalam MN dengan mendakwa berlakunya agihan peruntukan yang tidak adil.

Ketika perbahasan di DUN Terengganu pada 10 Aug, Ahmad berkata, agihan peruntukan sebanyak RM10 juta daripada kerajaan pusat bagi menangani krisis wabak Covid-19 tidak diberikan secara sama rata kepada wakil rakyat.

Tiada ulasan: