HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Oktober 2020

Perhimpunan agung Umno, mesyuarat bahagian tangguh tahun depan

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata jawatankuasa pengurusan parti 
bersetuju sebulat suara mengenai keputusan itu dan mendapat persetujuan secara majorit
ahli majlis kerja tertinggi Umno melalui “circular resolution” atau resolusi secara 
edaran.

PETALING JAYA: Perhimpunan agung Umno 2020 yang sepatutnya berlangsung 27 November ini ditangguhkan tahun depan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, penangguhan itu turut melibatkan mesyuarat perwakilan Umno bahagian di seluruh negara.

Katanya, ia membabitkan 764 persidangan iaitu 4 mesyuarat perwakilan bagi setiap 191 Umno Bahagian.

“Tarikh Perhimpunan agung Umno 2019 ialah pada 6 dan 7 Dis 2019, maka 18 bulan selepas itu ialah selewatnya 5 Jun 2021.

“Oleh itu, dipersetujui tarikh mesyuarat perwakilan bahagian pada Mac/April 2021 dan perhimpunan agung Umno 2020 pada Mei/awal Jun 2021. Tarikh tepat akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa pengurusan Umno bersetuju sebulat suara mengenai keputusan itu dan mendapat persetujuan secara majoriti ahli majlis kerja tertinggi Umno melalui “circular resolution” atau resolusi secara edaran.

“Oleh kerana begitu banyak perhimpunan yang melibatkan puluhan ribu orang, ia kemungkinan berupaya untuk merebakkan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berujuk Fasal 8.2 Perlembagaan Umno, “Perhimpunan agung tahunan hendaklah diadakan sekali dalam setahun pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh majlis tertinggi dengan syarat tidak lewat 18 bulan dari tarikh perhimpunan agung lalu”.

Fasal 8.2 perlembagaan ini dibaca bersama Perkara 5.4 Peraturan Persidangan di mana “Tarikh perhimpunan agung, tarikh mesyuarat perwakilan bahagian dan tempoh persidangan cawangan ditentukan oleh majlis tertinggi”.

Beliau turut memaklumkan AJK Umno Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri di 191 bahagian disaran mengadakan pelbagai aktiviti kebajikan prihatin rakyat dan ziarah kasih kepada yang memerlukan bantuan dalam kawasan masing-masing.

“Segala aktiviti mestilah mematuhi SOP Covid-19 ditetapkan kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: