HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 November 2020

Bersatu anggap elok, UMNO minta berlapang

 Oleh SAYED HESHAM IDRIS

AHMAD FAIZAL AZUMU

IPOH: Memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN) di Gerik adalah cadangan yang boleh diterima ketika negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pandangan DAP supaya semua parti politik tidak meletak calon di Gerik boleh diterima dalam keadaan kes Covid-19 semakin meningkat di negeri ini.

“Saya fikir ia satu panda­ngan yang boleh diterima, dalam keadaan ‘kita jaga kita’, kita juga cuba elak berlakunya pilihan raya.

“Kempen pilihan raya boleh mengakibatkan penularan pandemik Covid-19. Ini yang nak kita hentikan sebab kes sema­kin meningkat. Perhatian harus diberi ke arah menghentikannya,” katanya selepas melancarkan Inisiatif Rakan Niaga Telco antara kerajaan negeri dengan kerjasama redONE Network Sdn. Bhd., di sini semalam.

Kerusi Parlimen Gerik kosong ekoran kematian penyandang­nya, Datuk Hasbullah Osman Isnin lalu akibat sakit jantung.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Hasbullah yang bertanding atas tiket BN menang kerusi Parlimen Gerik apabila meraih 13,243 undi me­ngalahkan dua calon lain iaitu Mohd. Dahalan Ismail dari Pas (7,715 undi) dan Ibrahim Hanafiah dari Bersatu (6,353 undi).

Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa semua parti politik supaya mengelak meletak calon dan memberi kemenangan tanpa bertanding kepada UMNO di kerusi berkenaan jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar berkata, DAP yang mengutarakan cadangan itu juga sepatutnya tidak bertan­ding langsung jika PRK Parlimen Gerik diadakan.

“Walaupun negara kita mengamalkan demokrasi namun dalam keadaan sekarang, elok jika tidak berlaku PRK,” katanya.

SAARANI MOHAMAD

Sementara itu, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, PRK Parlimen Gerik jika diadakan tidak me­ngubah kedudukan kerajaan.

Katanya, berikutan itu adalah lebih baik jika semua parti berlapang dada menerima BN sebagai calon tunggal dalam PRK Gerik.

“Jika BN tidak ditandingi, kita tidak perlu bertungkus-lumus berkempen yang akan menjadi punca Covid-19 merebak.

“Maknanya hanya satu calon dikemukakan iaitu daripada BN. Ini sudah pasti disokong oleh Pas dan Bersatu dan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin kerusi Parlimen Gerik tetap milik UMNO yang tradisinya ditandingi calon dari parti ber­kenaan setiap kali pilihan raya.

Namun, katanya, parti itu tetap mengadakan perbinca­ngan dengan rakan parti dalam Perikatan Nasional (PN) berhubung kemungkinan PRK Parlimen Gerik diadakan ekoran kematian Hasbullah. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: