HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 November 2020

Pejuang jangan buat spekulasi

 Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN

NOOR SULASTRY YURNI AHMAD 

KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak perlu bimbang berkenaan status kelewatan pendaftarannya di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selain ia bukan disa­botaj daripada pihak tertentu.

Kelewatan pendaftaran itu mungkin mengambil masa atas faktor keadaan semasa terutama dengan pandemik Covid-19 yang belum berakhir.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad berkata, spekulasi negatif ha­nya mengakibatkan sistem urus tadbir negara dicemari dengan tuduhan tidak berasas di sam­ping memburukkan demokrasi berperlembagaan yang dipegang selama ini.

“Perkara yang perlu dilakukan sekarang adalah menunggu sehingga kelulusan diberikan. Sekiranya tidak berpuas hati dengan proses tersebut sehingga mengakibatkan kelewatan, Pejuang boleh mengambil langkah seterusnya dengan merujuk kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bendahari Penaja Pejuang, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh sebelum ini mengakui, beliau masih belum menerima sebarang kenyataan bertulis daripada ROS berhubung pendaftaran partinya yang diasaskan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ditanya berhubung senario itu, Noor Sulastry Yurni enggan meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak sebaliknya Pejuang perlu menggunakan saluran yang betul dengan berjumpa ROS untuk mendapatkan jawapan sebenar.

“Jangan cepat melatah de­ngan perkara yang boleh di­selesaikan dengan rasional supaya tidak terlalu ketara mem­belakangkan prosedur terutama pihak yang akan membuat keputusan ter­hadap permohonan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: