Bernama

Mesyuarat
Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 berlangsung selama 27 hari
sehingga 15 Dis dengan sesi penggulungan Belanjawan 2021 peringkat dasar
bermula 9 Nov hingga 26 Nov.
KUALA LUMPUR:
Persoalan sama ada kerajaan bercadang menasihati Yang di-Pertuan Agong
bagi mengisytiharkan darurat di Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri
(DUN) Bugaya seperti yang dilakukan di Parlimen Batu Sapi, adalah
antara isu akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut
Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu terkandung dalam Waktu
Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang akan diajukan Datuk Seri Ahmad Maslan
(BN-Pontian) kepada Perdana Menteri, dan rasional sekiranya
dilaksanakan serta kekangan hak demokrasi pengundi untuk kawasan
terlibat.
Pada
sesi sama juga, Teo Nie Ching (PH-Kulai) meminta Menteri Pendidikan
menyatakan keberkesanan TV Pendidikan, jumlah murid dan pelajar yang
mengikuti program itu, serta sama ada kementerian mempunyai perancangan
menambah masa siaran TV Pendidikan.
Selain
itu, pada sesi soal jawab lisan, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
(PAS-Bachok) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini
pembinaan tiga kapal induk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
yang akan digunakan bagi meningkatkan pengoperasian di perairan negara
dalam usaha mencegah aktiviti pencerobohan bot nelayan asing.
Datuk
Mohamad Alamin (BN-Kimanis) pula meminta penjelasan Menteri Kanan
Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai strategi dan hala tuju
kementerian berkaitan import dan eksport negara bagi terus meningkatkan
keyakinan pelabur asing untuk melabur dalam negara khususnya di Sabah.
Persidangan
dewan kemudian diteruskan dengan penggulungan perbahasan peringkat
dasar bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 oleh
kementerian-kementerian terlibat.
Setakat
semalam, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri telah menggulung perbahasan rang undang-undang
berkenaan.
Antara kementerian yang
dijadual menggulung perbahasan hari ini ialah Kementerian Pertahanan;
Kementerian Pengangkutan; Kementerian Alam Sekitar dan Air; Kementerian
Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Berdasarkan
takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14
akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Dis dengan sesi penggulungan
Belanjawan 2021 peringkat dasar oleh menteri-menteri berkenaan bermula 9
Nov hingga 26 Nov.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan