HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 November 2020

Saari: Saya cadang Fakhrulrazi sertai PKR, sokong Anwar jadi PM

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Sokongan pemimpin Amanah terhadap Dr Mahathir Mohamad telah 'merosakkan' dukungan akar umbi parti, dakwa Adun Hulu Kelang Saari Sungib.

Saari juga berkata Adun Amanah yang menyertai PKR, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar tidak patut dikecam dan tidak wajar menggunakan istilah lompat parti terhadapnya.

Malah, kata Saari, dia sendiri yang yang mencadangkan Adun Meru itu menyertai PKR ketika Fakhrulrazi datang berjumpa dengannya sebelum membuat keputusan meninggalkan parti.

"Beberapa minggu lalu, ketika Fakhrulrazi bertemu saya untuk meminta pandangan dari saya, apakah wajar beliau menyertai PKR.

"Saya menjawab bahawa kesan daripada pimpinan Amanah terlalu ingin menonjolkan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad telah banyak menjejaskan sokongan ahli dan rakyat kepada Amanah," katanya.

Menurut Saari (gambar, atas) bagi menebus kembali kekurangan sokongan akar umbi, Amanah perlu "menumpukan untuk mengukuhkan agenda meletakkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kesembilan."

"Saya percaya bahawa usaha untuk melipat gandakan imej Anwar sebagai perdana menteri yang mampu membawa perubahan yang bermakna kepada rakyat Malaysia akan menjadi realiti. 

"Saya yakin jika Anwar Ibrahim dibantu parti-parti komponen PH ditambah lagi dengan usaha yang lebih mantap lagi dari parti sendiri, perkara ini akan dapat dicapai," kata Saari lagi.

Jelasnya, dia mengingatkan Fakhrulrazi supaya bertemu dengan Presiden Amanah Mohamad Sabu bagi menjelaskan hasrat itu.

"Dengan itu saya mencadangkan agar beliau menyertai PKR dengan matlamat ini," kata Saari.

Kelmarin, Malaysiakini melaporkan sumber-sumber Amanah memberitahu kepimpinan parti itu sekarang tidak menutup terus pintu kepada Mahathir, walaupun komited dengan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar.

Bagaimanapun, pihak dalam Amanah yang dilihat rapat dengan Anwar pula dikatakan lebih selesa membuka lembaran baru tanpa Mahathir.

Dilema inilah yang dikatakan menyebabkan Fakhrulrazi dan Adun Sabak Ahmad Mustain Othman memilih PKR sebagai parti baru.

Selain mereka, dua lagi wakil rakyat Amanah - Adun Morib Hasnul Baharuddin dan Saari Sungib - turut dikaitkan dengan spekulasi itu tetapi menafikannya.

Naib Presiden Amanah, Husam Musa pada September lalu turut dikaitkan dengan spekulasi akan meninggalkan Amanah dan menyertai PKR tetapi dia menafikan perkara itu.

Sebelum ini, Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof menjelaskan tindakan Adun Meru keluar parti tidak ada kena mengena dengan 'fitnah keretakan kepercayaan' parti itu terhadap kepimpinan presiden PKR.

“Jangan kaitkan sama sekali tindakan individu seperti Adun Meru atau sesiapa sahaja dari ahli Amanah sebagai respons kepada 'kekecewaan sikap parti Amanah terhadap Anwar Ibrahim," katanya pada 17 Nov.

Mujahid ketika itu juga mengulas kepimpinan parti mengambil pendirian menyokong Dr Mahathiryang kini bersama parti baru, Pejuang.

Katanya, dakwaan itu berniat jahat dengan tujuan memburukkan imej Amanah serta sebagai satu serangan peribadi kerana mendakwa Mohamad Sabu sebagai penyebab kepada perpecahan dalam parti itu.

“Pihak yang bertanggungjawab atas naratif ini harus meminta maaf atas usaha memburukkan Amanah ini secara sengaja atau tidak dan sekaligus merosakkan kesatuan dalam PH yang merugikan,” katanya.

Tiada ulasan: