HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 November 2020

Ukhuwah BN kukuh, kekal relevan, kata Hishammuddin

Hishammuddin Hussein berkata BN perlu membuktikan keikhlasan dan kejujuran 
supaya mampu keluar daripada PRU15 sebagai gabungan kuat.

KUALA LUMPUR: Bendahari Barisan Nasional (BN) Hishammuddin Hussein berkata, ukhuwah parti gabungan itu masih kukuh dan membuktikan ia masih relevan.

“Apa dibincangkan di peringkat BN bukan saja secara biasa tetapi memandangkan landskap politik berubah, kita membincangkan secara telus dan petanda BN masih relevan tetapi keselesaan antara kita yang sudah lama dalam satu rangkaian masih lagi wujud. Itu saya boleh nampak daripada persefahaman, keikhlasan, kejujuran sesama kita.

“Ini satu petanda baik kerana landskap politik di luar sana pelbagai kemungkinan tetapi asalkan berada dalam satu saf, boleh ada perbezaan pendapat tetapi akhirnya kita letakkan kepentingan parti dan kepentingan bersandarkan kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita di PWTC selepas menghadiri mesyuarat BN malam ini.

Hishammuddin berkata, BN juga perlu membuktikan keikhlasan dan kejujuran supaya mampu keluar daripada PRU15 sebagai gabungan kuat.

“Kalau kita mampu menunjukkan keikhlasan, kejujuran, ketegasan yang ingin dilalukan dan buktikan kepada rakyat, akhirnya rakyat akan tentukan jatuh bangun kita. Kalau itu boleh dilakukan, BN boleh keluar daripada keadaan ini lebih kuat,” katanya.

Ketika ditanya, adakah parti itu perlu bergerak secara berasingan tanpa Perikatan Nasional (PN), Hishammuddin berkata isu itu tidak berbangkit kerana sebarang kemungkinan akan berlaku namun yang penting memperkuatkan kembali BN.

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, semua parti komponen BN hadir dan berikrar akan mempertahankan gabungan itu.

“Kita sentiasa mempertahankan BN masih relevan sejak kemerdekaan sehingga hari ini,” katanya.

Tiada ulasan: