HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 November 2020

Usul percaya perlu diutamakan berbanding urusan kerajaan lain, kata peguam

Seorang peguam berkata, ada cara untuk mengadakan usul percaya terhadap 
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, walaupun ia tidak dinyatakan secara
langsung dalam Perlembagaan.

PETALING JAYA: Usul percaya di Dewan Rakyat perlu dianggap kepentingan awam dan disegerakan, kata peguam dan bekas pensyarah undang-undang, Gurdial Singh Nijar.

Beliau berkata, kepentingan usul itu timbul daripada peruntukan Perlembagaan yang perdana menteri perlu meletak jawatan jika beliau hilang kepercayaan Dewan Rakyat.

“Ini menandakan perdana menteri hilang sokongan majoriti, jika ada usul tidak percaya terhadapnya diluluskan dalam dewan. Perdana menteri dikatakan hilang sokongan, jika Rang Undang-undang Perbekalan tidak diluluskan.”

Katanya, peruntukan Perlembagaan ini secara tidak langsung menunjukkan usul percaya boleh diadakan, walaupun ia tidak dinyatakan khusus dalam Perlembagaan.

Oleh itu, Guardial berkata, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun perlu melayan usul tidak percaya terhadap perdana menteri sebagai perkara perlu disegerakan dan kepentingan awam, seperti ditetapkan di bawah Peraturan Mesyuarat.

“Malah, usul begini perlu diutamakan berbanding semua urusan kerajaan yang lain.”

Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (belanjawan persekutuan untuk tahun depan) dijadualkan diundi di Dewan Rakyat Khamis ini.

Terdapat 25 ahli Parlimen menyerahkan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, tetapi speaker berkata, ia bergantung kepada menteri di jabatan perdana menteri sama ada mahu memberi keutamaan kepada usul itu berbanding urusan kerajaan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan berkata, tiada prosedur dalam Perlembagaan atau Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai prerogatif dan boleh memutuskan cara untuk menentukan jika perdana menteri mempunyai sokongan mencukupi.

Gurdial Singh Nijar.

Bagaimanapun, Gurdial berkata, Perlembagaan secara tidak langsung menunjukkan usul tidak percaya terhadap perdana menteri boleh diadakan.

Seorang lagi peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Takiyuddin perlu mengkaji duluan yang ditetapkan Mahkamah Persekutuan pada 2010, apabila pembelotan menyebabkan kerajaan negeri pimpinan Muhammad Nizar Jamaluddin tumbang dan menyebabkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melantik Zambry Abdul Kadir mengetuai kerajaan negeri baru.

Katanya, Mahkamah Persekutuan memutuskan ukuran sokongan (terhadap ketua kerajaan) “boleh dinilai bukan saja dalam badan perundangan, tetapi juga melalui faktor luar”.

Beliau berkata, keabsahan kerajaan Muhyiddin Yassin perlu diuji di Dewan Rakyat.

“Apa yang penting ialah undian dalam dewan akan menunjukkan dengan jelas jumlah sokongan yang diperolehi perdana menteri.”

Tiada ulasan: