Dalam mesyuarat itu, Zahid dilaporkan membuat keputusan untuk tidak lagi bekerjasama
dengan Bersatu selepas tamat penguatkuasaan darurat. Kemnya mendakwa
majoriti anggota MT Umno menyokong keputusan itu, manakala kumpulan lain
mendakwa sebaliknya.
Penyebaran buku berkenaan selain dikatakan
berkait dengan isu kerjasama dengan Bersatu, ia juga dikatakan turut
membabitkan isu jawatan timbalan perdana menteri yang menjadi talian
hayat bagi menyelamatkan hubungan Umno dengan Bersatu.
Pastinya,
serangan terhadap presiden Umno mempunyai hubungan kait dengan pemilihan
parti yang akan diadakan tahun ini. Sudah pasti ada kumpulan-kumpulan
tertentu cuba untuk menyingkirkannya.
Kedudukan Zahid kini
berdepan serangan demi serangan, apatah lagi dengan keadaannya yang
berdepan banyak pertuduhan di mahkamah dan keengganannya meneruskan
kerjasama dengan Bersatu serta menolak tawaran jawatan timbalan perdana
menteri kepada Umno.
Menurut sumber yang juga ahli Majlis
Tertinggi (MT) Umno kepada Malaysiakini, "kluster menteri" banyak
menyerang presiden parti termasuk dalam mesyuarat MT.
"Mereka
menyerang presiden kerana ada dalam kalangan mereka menyimpan cita-cita
untuk menduduki jawatan timbalan perdana menteri.
"Namun, kluster
menteri ini terdiam apabila presiden menegaskan yang Umno tidak pernah
menerima sebarang tawaran bagi jawatan berkenaan. Akhirnya semua
terdiam," katanya.
Tetapi siapakah yang sebenarnya menyerang
Zahid? Pastinya ini persoalan pertama yang bermain di fikiran ramai
pemerhati politik tanah air.
Jika kita meneliti mereka yang
dikaitkan dengan jawatan timbalan perdana menteri, timbul nama Naib
Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dan Bendahari BN, Hishammuddin
Hussein.
Tetapi adakah itu sudah cukup untuk mengaitkan buku tersebut dengan mereka?
Dari
segi hirarki, sama ada dalam parti dan juga pentadbiran, nama Ismail
Sabri layak untuk dikaitkan dengan jawatan timbalan perdana menteri.
Bagaimanapun
sehingga kini dia dilihat tidak begitu kisah dengan spekulasi yang
dikaitkan dengan jawatan itu. Ismail dilihat melaksanakan tugasnya
selaku Menteri Kanan yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia prosedur
operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.
Dia juga dilihat tiada
sebarang masalah dengan presiden Umno bahkan seorang yang setia dan
bersama parti mengharungi saat sukar selepas BN tewas dalam PRU14.
Ismail Sabri juga tidak pernah melompat parti, apatah lagi bekerjasama dengan pihak lawan ketika Umno dalam keadaan lemah.
Adakah
serangan yang dihalakan kepada presiden Umno itu datang dari kem
Hishammuddin? Bagi pemerhati politik, boleh jadi ya dan mungkin juga
tidak.
Boleh jadi ya, kerana ini peluang terbaik untuk
Hishammuddin kembali memegang jawatan. Ketika era pentadbiran Najib
Razak, Hishammuddin sememangnya diberi portfolio penting dalam kabinet.
Boleh
jadi juga tidak, kerana Hhishammuddin memiliki hubungan baik dengan
Ahmad Zahid. Namun, tidak perlu dinyatakan yang dalam politik apa saja
boleh berlaku.
Untuk rekod, Hishammuddin pernah didakwa sebagai orang tengah yang mengatur sokongan wakil rakyat Umno kepada Bersatu.
Ada
juga cakap-cakap yang mendakwa dialah yang "memegang" wakil rakyat Umno
untuk terus menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan
memastikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus berkuasa.
Bekas Naib Presiden Umno itu juga diketahui umum antara pemimpin Umno yang mempunyai hubungan istimewa dengan Mohamed Azmin Ali.
Hishammuddin juga dikatakan menjadi orang tengah yang mengatur pertemuan wakil rakyat Umno dengan Azmin satu ketika dulu ketika pentadbiran PH.
Bagaimanapun dia menafikan bertindak sebagai perancang.
Apa
pun masih tiada bukti kukuh untuk mengaitkan buku berkenaan dengan
kumpulan Hishammuddin, melainkan setakat ini hanyalah bersifat spekulasi
semata-mata.
Selain itu umum juga mengetahui hubungan yang keruh antara Ahmad Zahid bekas setiausaha agung BN Annuar Musa.
Dikatakan
agak mustahil untuk Annuar bertindak sebagai dalang buku 30 dalil ini,
walaupun dia berselisih faham dengan presiden Umno.
Ini kerana
Annuar tidak memiliki pengaruh dan akar umbi yang kuat dalam parti. Oleh
itu mengapa dia perlu menghabiskan sejumlah besar wang untuk
menerbitkan buku berkenaan?
Selain itu ada satu lagi persoalan -
sama ada serangan terhadap Zahid dicetuskan pihak dalam Umno atau
dirancang pihak luar yang ingin menguasai parti itu. MALAYSIAKINI