Setiausaha
Pemuda PKR (AMK) Syukri Razab menyarankan supaya Timbalan Presiden
Amanah, Salahuddin Ayub bermuhasabah diri dan menjauhi sikap politik
bermuka-muka seperti parti lamanya - PAS.
Kenyataan itu hadir susulan teguran Salahuddin semalam yang mengatakan tidak manis untuk PKR menerima tiga bekas Adun Amanah, berdasarkan semangat setiakawan dalam Pakatan Harapan.
“Salahuddin
kelihatan begitu 'terusik' apabila PKR menerima penyertaan mantan ahli
Amanah, lalu Salahuddin sifatkan PKR sebagai tidak hormat semangat PH.
“Bagaimana
pula sikap Salahuddin sendiri yang masih akrab dengan kelompok yang
tidak pun mahu bersama dalam gabungan PH, malah kerap menyerang Presiden
PKR (Anwar Ibrahim) secara terbuka?
“Salahuddin perlu
bermuhasabah diri dan menjauhi sikap parti lama beliau yang gemar
bermain politik bermuka-muka atau politik dua kolam - mahu bersama PKR
tapi dalam masa yang sama masih tidak mahu keluar daripada kelambu Tun M
(Dr Mahathir Mohamad),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas
kenyataan Salahuddin, Syukri berpandangan adalah “lebih tidak manis”
bagi Ahli Parlimen Pulai itu beranggapan tindakan hijrah tiga Adun
Amanah ke PKR secara negatif, kerana mereka bukan menyertai Bersatu,
Umno atau Perikatan Nasional.
Semalam, dilaporkan bahawa tiga Adun Amanah dari Johor iaitu Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota) ke dalam PKR.
Tahun lepas, dua Adun Amanah dari Selangor, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Ahmad Mustain Othman (Sabak) turut mengambil langkah serupa.
Untuk rekod, sebelum ini dilaporkan Amanah berdepan dengan konflik dalaman dipercayai berhubung isu hala tuju parti sama ada untuk cenderung kepada Anwar Ibrahim atau Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air, Dr Mahathir Mohamad.
Ia
antaranya dikaitkan dengan pertemuan Mahathir, Presiden Amanah Mohamad
Sabu dan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah pada 29 Oktober lalu yang
dikatakan membincangkan isu “kerajaan perpaduan”.
Mengulas
lanjut mengenai kenyataan Salahuddin, Syukri berkata Salahuddin
sewajarnya berterima kasih kepada PKR kerana memberi pilihan alternatif
kepada tiga adun tersebut untuk terus setia bersama PH.
“Apakah
Salahuddin mahu PKR menolak penyertaan tiga Adun ini dan membiarkan
mereka membeku dalam Amanah sedangkan jiwa mereka sudah tidak lagi
bersama Amanah?" soalnya.
Dia turut menyifatkan Salahuddin seperti sedang keliru untuk membezakan antara rakan dan musuh berikutan kenyataannya itu.
Syukri
menambah, Salahuddin boleh menyerang PKR jika parti itu menjalinkan
hubungan dengan PAS, memandangkan PAS merupakan seteru politik Amanah.
Namun
menurutnya, ia tidak berlaku sama sekali kerana PKR menghormati
pendirian Amanah dan perkara yang sama perlu dilakukan oleh Amanah
dengan tidak menjalankan hubungan dengan seteru PKR.
“Saya percaya sikap bermain dua kolam ini sedang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan ahli Amanah sendiri.
“Mungkin inilah yang menyebabkan berlakunya hijrah ahli Amanah ke dalam PKR yang dilihat lebih jelas dan tegas atas prinsip.
“Justeru Salahuddin Ayub wajar bermusabah dan insaf sebelum menyerang PKR,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan