HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Februari 2021

Putra gesa kaji semula pembatalan jenayah seks luar tabie

MGF22102020_PERASMIAN-TABUNG-PUTRA_07
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menghormati keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berkaitan jenayah seks luar tabie sebagai tidak sah dan terbatal.

Presidennya, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali berkata, pihaknya telah meneliti alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan itu dan memahami bahawa kuasa perundangan antara Persekutuan dan negeri dibatasi sempadan Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama seperti yang terkandung di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun katanya, Putra berduka terhadap kesan yang boleh berlaku terhadap masa depan kehakiman syariah di Malaysia.

“Putra berpandangan pendekatan yang di ambil oleh hakim-hakim Mahkamah Persekutuan ini boleh dikaji semula pada masa akan datang jika ada kes yang sama di rujukkan ke Mahkamah Persekutuan.

“Ini kerana terdapatnya ruang apabila Mahkamah Persekutuan hari ini bersetuju bahawa jenayah seks luar tabie ini adalah bertentangan dengan rukun-rukun Islam berdasarkan dua kertas Pakar yang dirujuk oleh Mahkamah Persekutuan yang di tulis oleh Prof Kamal Hassan dan Prof Mahmood Zuhdi Abd Majid.

“Jika keputusan Mahkamah Persekutuan ini tidak diubah semula oleh Mahkamah Persekutuan pada masa akan datang, ini merupakan sesuatu yang menyedihkan buat umat Islam dalam memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan Selaras dengan Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata, Mahkamah Persekutuan hari ini terlalu prihatin dengan ketidakadilan yang dikatakan bakal berlaku jika Seksyen 28 itu dibenar dikuatkuasakan ke atas pempetisyen yang jika sabit kesalahan hanya akan dikenakan hukuman penjara maksima lima tahun berbanding tiga orang lagi yang bukan Islam yang turut melakukan jenayah liwat berkenaan dengan pempetisyen jika didakwa di mahkamah sivil dan sabit kesalahan akan di hukum penjara maksimum 20 tahun.

Ujarnya, Putra berpendapat disebabkan “kebimbangan isu prejudis dan kesamarataan” oleh hakim-hakim Mahkamah Persekutuan hari ini terhadap tiga orang yang bukan Islam berkenaan, maka fokus kehakiman itu mungkin bertujuan mengelakkan salah anggap masyarakat bukan Islam terhadap kehakiman syariah yang mungkin persepsi berkenaan tidak semestinya tepat.

“Oleh itu, demi untuk memartabatkan kehakiman syariah di Malaysia, agar tidak lagi sewenang-wenangnya berlaku tafsiran Mahkamah Sivil yang tidak memihak kepada kehakiman syariah maka Putra berharap agar Mahkamah Persekutuan dapat mengkaji semula keputusan ini pada masa yang akan
datang,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: