Harits Asyraf Hasnan
Jawatankuasa
bebas yang ditubuhkan di bawah Parlimen masih boleh melakukan
semak dan
imbang walaupun Parlimen tidak bersidang. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR:
Parlimen merupakan institusi terbaik dalam memastikan kelangsungan
proses semak dan imbang melibatkan sebarang dasar serta polisi yang
dilaksanakan kerajaan.
Penyandang Kursi
Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz
berkata jawatankuasa bebas yang ditubuhkan di bawah Parlimen masih boleh
melakukan semak dan imbang walaupun Parlimen tidak bersidang.
"Jadi pada saya, adalah lebih bagus kalau kita nyatakan Parlimen itu boleh bersidang dan boleh melakukan semak dan imbang.
"Jawatankuasa yang saya maksudkan ini adalah jawatankuasa di bawah Parlimen.
"Namun,
itu terserah kepada Seri Paduka Baginda dan kesediaan kerajaan sendiri
untuk membenarkan Parlimen itu bersidang. Bersidang atau tidak, itu
adalah dibenarkan oleh undang-undang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mengulas
lanjut, Shamrahayu berkata Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang
ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021
tidak melakukan semak dan imbang.
Sebaliknya,
jawatankuasa itu hanya bertindak sebagai penasihat kepada Yang
di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia
dan penamatannya.
"Kalau ditubuhkan satu jawatankuasa darurat yang sepenuhnya atau berkenaan dengan semak dan imbang, itu adalah lebih baik.
"Lagi
satu adalah jawatankuasa teknikal yang melihat kepada kesan pandemik
COVID-19 ke atas keseluruhan negara termasuk dari segi kemakmuran
ekonomi, kedudukan rakyat dan sebagainya.
"Kita tidak ada jawatankuasa darurat seperti itu," katanya.
Shamrahayu
pada masa sama menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong semalam yang
disifatkan beliau sebagai peranan Seri Paduka Baginda dalam mendengar
pelbagai pandangan yang dikemukakan rakyat termasuk ahli politik.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengelola
Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata,
baginda menegaskan bahawa sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem
demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang
pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen
haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan