HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Februari 2021

Rundingan kerusi PRU: UMNO bincang dengan Pas sahaja, tak campur PN - Saarani

Amirrul Rabbani
Rundingan kerusi PRU: UMNO bincang dengan Pas sahaja, tak campur PN - Saarani
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata 
perbincangan tersebut akan diadakan tanpa melibatkan Perikatan Nasional (PN). 
- Gambar fail
 
LENGGONG: UMNO hanya akan mengadakan perbincangan bersama Pas berhubung pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
 
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata perbincangan tersebut akan diadakan tanpa melibatkan Perikatan Nasional (PN).
 
Tegas beliau, UMNO kekal dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Parti (MKT) yang mana memutuskan perundingan kerusi tidak akan membabitkan pertembungan kerusi UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pas pada PRU15 nanti.
 
“Saya tidak campur (urusan agihan kerusi bersama) PN. Saya dengan Pas sahaja.
 
“Seperti saya sebutkan selalu yang kita di Perak, malah di Malaysia kita mengikut keputusan Majlis Kerja Tertinggi Parti. (Iaitu hanya) berkolaborasi dengan Pas, BN dengan Pas,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Projek Jiwa Murni Negeri Perak bersempena dengan sambutan Hari Tentera Darat Ke-88 di Surau Islahiyah Pekan Lenggong, di sini pada Sabtu.
 
Sementara itu Saarani yang juga Menteri Besar Perak menegaskan bahawa setakat ini, UMNO Negeri masih belum memulakan sebarang perbincangan lanjut bersama Pas berhubung rundingan kerusi PRU15.
 
Jelas beliau, mereka perlu menunggu terlebih dahulun sebarang keputusan terkini yang dimuktamadkan Jawatankuasa Perundingan antara dua parti besar Melayu tersebut.
 
"Setelah dapat formula itu dan dimaklumkan kepada kita, barulah kita boleh berunding dengan Pas sebab hal agihan kerusi ini tidak hanya melihat satu negeri sahaja, tetapi keseluruhannya," katanya.
 
Walau bagaimanapun ujar Saarani, dalam menghadapi PRU15, UMNO kekal dengan status quo kerusi yang akan ditandingi parti itu sebagaimana pada PRU14.
 
“Sejarahnya pada 2018, UMNO memang di 27 kerusi (Dun). Pas menang di tiga kerusi. Itu kekal. UMNO tidak akan lawan Pas. Pas pun tidak akan lawan UMNO di tempat yang kita menang. Kita kekal dengan status quo. Itu persabahatan dalam Muafakat Nasional (MN),” katanya lagi.
 
Pada Selasa media melaporkan, Timbalan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah dilantik mengetuai perbincangan berhubung pengagihan kerusi parti itu bersama komponen lain dalam PN.
 
Ahmad Faizal berkata bahawa semua parti dalam PN berhak menyatakan minat mereka untuk bertanding di mana-mana kerusi.

Tiada ulasan: