HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Februari 2021

MIC akan bincang kerjasama Bersatu dengan BN

Bernama
MIC akan bincang kerjasama Bersatu dengan BN
Saravanan berkata buat masa ini, tiada sebarang keputusan dibuat berhubung
perkara itu. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: MIC akan berbincang dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN) sama ada akan mempertahan atau menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
 
Timbalan Presiden MIC Datuk M. Saravanan berkata buat masa ini, tiada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu.
 
''Kita tengoklah perkembangan. Setakat ini, kita (MIC) belum bincang pada peringkat BN, kita akan bincang perkara ini tidak lama lagi sebagai ahli dalam BN.
 
"Sebelum ini, kita menyokong Perikatan Nasional pun atas tiket sebagai ahli dalam BN,'' katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri karnival Penjana Kerjaya yang diadakan secara maya hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan beberapa media sebelum ini yang mendakwa pemimpin UMNO memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dan PN pada PRU15.
 
Laporan media itu memetik sumber parti susulan pertemuan pemimpin UMNO di Janda Baik, Pahang Jumaat lepas.-- BERNAMA

Tiada ulasan: