HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2021

Tun Faisal diarah hadir Tribunal Lembaga Disiplin UMNO 1 Mac

Wartawan MalaysiaGazette
Tun Faisal Ismail Aziz
Wakil UMNO Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz membahas ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengesahkan beliau diminta menghadiri Tribunal Lembaga Disiplin pada 1 Mac 2021.

Katanya, Lembaga Disiplin mengarahkannya menghadiri tribunal berkenaan pada hari ini namun ekoran komitmen kerja, beliau terpaksa meminta supaya tarikh itu dianjak.

“Hari ini, 25hb Februari, jam 230 petang, saya telah diarahkan untuk menghadiri Tribunal Lembaga Disiplin UMNO. Bagaimanapun oleh kerana komitmen kerja, saya telah meminta Lembaga Disiplin memberikan tarikh baru kepada saya.

“Tarikh baru yang dipohon adalah pada 1hb Mac 2021 dan pihak Lembaga Disiplin telah bersetuju dengan tarikh ini. Masa tribunal adalah jam 2.30 petang dan akan berlangsung di Tingkat 7, Menara Dato Onn, PWTC,” katanya menerusi kenyataan.

Tun Faisal dalam pada itu menuntut tiga perkara daripada Lembaga Disiplin sebelum dipanggil menghadiri tribunal tersebut.

Beliau meminta nama pengerusi dan senarai anggota tribunal berkenaan.

Selain itu beliau mendesak mahu nama pengadu dan butiran aduan didedahkan termasuk perincian tentang dakwaan pelanggaran peraturan parti yang dilakukannya.

Tun Faisal dalam masa sama turut meminta kebenaran membawa dua orang pengamal undang-undang untuk hadir bersamanya sebagai pemerhati dan dan penasihatnya ketika tribunal berlangsung.

“Saya berharap agar tiga permintaan saya ini dapat dipenuhi memandangkan proses dan ketelusan tribunal ini amat penting bagi memastikan UMNO dilihat adil dan mengenepikan persepsi bahawa Lembaga Disiplin dipergunakan untuk memenuhi kepentingan individu tertentu dalam parti.

“Surat jawapan terhadap dakwaan ke atas saya akan saya serahkan kepada Tan Sri semasa sesi panel tribunal nanti,” katanya.

Tuntutannya itu telah disampaikan kepada Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Zul Hasnan Rafique.

Sebelum ini, Pegawai kepada Menteri Wilayah Persekutuan itu diminta mengemukakan surat tunjuk sebab serta diarahkan hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin UMNO kerana dilaporkan membuat kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah hilang kredibiliti dan mengkhianati parti selepas percubaan untuk membawa parti menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal beberapa kali.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: