KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz memohon Lembaga Disiplin UMNO memenuhi tiga tuntutannya sebelum 'membicarakan' salah laku beliau sebagai anggota parti.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa itu berkata, permohonannya itu bagi memastikan proses keadilan terhadapnya dapat dilaksanakan dengan telus.
Katanya, permohonan itu dilakukan selepas melakukan perbincangan bersama beberapa pengamal perundangan dan pemimpin veteran UMNO berdasarkan kes lalu membabitkan pemecatan Datuk Lokman Nor Adam.
"Saya menyerahkan surat permohonan itu kepada Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Zul Hasnan Rafique pada 23 Februari lalu.
"Tiga permohonan itu ialah senarai nama anggota tribunal, iaitu pengerusi dan anggotanya, nama pengadu atau UMNO Bahagian membuat aduan terhadap saya serta apakah butiran aduan asal termasuk peraturan yang saya langgar.
"Kemudian benarkan saya membawa dua orang pengamal undang-undang untuk hadir bersama sebagai pemerhati dan pihak yang boleh menasihati saya," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Tun Faisal Ismail diarahkan mengemukakan surat jawapan balas kepada Lembaga Disiplin UMNO berhubung kenyataan terbukanya sebelum ini yang dilihat menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tun Faisal Ismail berkata, tiga permintaannya ini amat penting bagi memastikan UMNO dilihat adil dan mengenepikan persepsi Lembaga Disiplin dipergunakan untuk memenuhi kepentingan individu tertentu dalam parti.
"Surat jawapan terhadap dakwaan ke atas saya pula akan diserahkan kepada Tan Sri semasa sesi panel tribunal nanti," katanya.
Tun Faisal Ismail dijadualkan menghadiri Tribunal Lembaga Disiplin UMNO pada 1 Mac ini pada jam 2.30 petang di Tingkat 7, Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan