HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Februari 2021

PKR diingatkan jangan hipokrit, beli dan jual wakil rakyat budaya hina - Pemuda Amanah

Hasimi Muhamad
PKR diingatkan jangan hipokrit, beli dan jual wakil rakyat budaya hina - Pemuda Amanah
Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mengingatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar tidak hipokrit dan berlidah cabang, selain menolak budaya lompat parti dalam kalangan wakil rakyat.
 
KUALA LUMPUR: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mengingatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar tidak hipokrit dan berlidah cabang, selain menolak budaya lompat parti dalam kalangan wakil rakyat.
 
Ketua Pemudanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melaksanakan tekad bersama untuk menolak budaya lompat parti sesama komponen yang jelas menguntungkan satu pihak dan merugikan pihak yang lain.
 
Kenyataan tersebut menyusul selepas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah termasuk tiga dari Johor bertindak menyertai PKR.
 
Mereka masing-masing ialah ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim; ADUN Serom, Faizul Amri Adnan serta ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit.
 
Selain tiga dari Johor, turut didakwa bertindak keluar parti adalah dua ADUN dari Selangor. 
 
"Politik tikam belakang ini usah dibudayakan.
 
"Sebagai rakan gabungan dalam Pakatan Harapan, menerima penyertaan wakil-wakil rakyat ini hanya akan menyebabkan hubungan antara parti renggang dan keruh di kemudian hari," demikian katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
 
Jelas Shazni Munir Pakatan Harapan (PH) secara umumnya boleh bersetuju bahawa tindakan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat adalah pelacuran terhadap sistem demokrasi negara.
 
Membeli dan menjual wakil rakyat merupakan budaya bobrok yang hina lagi keji, tambahnya. 
 
Bahkan persundalan tersebut juga katanya menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan runtuh dan merencatkan proses reformasi urus tadbir yang sedang berjalan ketika itu.
 
"Dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung PKR semalam, bertarikh 27 Februari 2021 dengan jelas menyebut bahawa parti berkenaan menolak tindakan lompat parti yang bertujuan ingin melemahkan mana-mana parti dalam blok pembangkang.
 
"Namun ironinya, pada tarikh berkenaan juga dilaporkan media bahawa PKR telah menerima wakil rakyat yang lompat di Johor; setelah bantahan dalaman kami suarakan rentetan kejadian sama berlaku di Selangor sebelum ini," katanya lagi.

Tiada ulasan: