HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Februari 2021

PAS akui tak boleh berseorangan tegakkan Islam

MALAYSIAKINI

 
Malaysiakini

PAS tidak boleh bersendirian dalam menegaskan Islam tanpa disertai kumpulan umat Islam lain.

Namun presiden parti itu Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu tetap menolak sebarang kerjasama dengan pihak yang menentang agenda Islam.

Kata Abdul Hadi berkata fiqh politik Islam menetapkan bahawa wajib ditegakkan kepimpinan Islam yang kukuh dengan asas perpaduan.

"Maka, PAS yang melaksanakan agenda Islam wajib menolak sesiapa saja atau mana-mana pihak dan kumpulan yang menjejaskan kekuatan Islam dalam menerajui politik negara.

'PAS tidak boleh bersendirian dengan menganggap kumpulannya sahaja yang mahu menegakkan Islam, tanpa disertai oleh kumpulan lain dalam kalangan umat Islam.

"Maka mereka yang menjadikan konsep perpaduan umat Islam secara tidak sempurna wajib ditolak, kerana agenda mereka hanyalah untuk kepentingan diri sendiri atau keluarga, bahkan hanya untuk puak atau kepartian sahaja," katanya dalam tulisan Minda Presiden PAS di Facebooknya hari ini.

Ironinya, kenyataan Abdul Hadi itu terbit ketika hubungan membabitkan Umno dan Bersatu masih terus dilanda kemelut dan belum menampakkan tanda akan berakhir.

Untuk rekod PAS menjalinkan kerjasama dengan Umno membentuk Muafakat Nasional (MN) selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Kemudian PAS bersama BN, GPS, Bersatu dan parti dari Sabah menjalinkan kerjasama bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Mac tahun lalu.

Penghalang pelaksanaan Islam

PAS juga pernah menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (Pakatan) bagi menghadapi PRU-13.

Bagaimanapun PAS dan DAP berkonflik sehingga mengakibatkan parti itu tidak bersama Pakatan dalam PRU-14.

Abdul Hadi berkata PAS juga menolak sebarang kumpulan berjenama Islam yang tidak istiqamah dan berkecamuk dengan bukan Islam.

"PAS menolak kumpulan berjenama Islam yang tidak istiqamah, sehingga mereka berkecamuk dengan bukan Islam yang nyata bermusuh dan tidak boleh dipercayai.

"Namun begitu, PAS boleh menerima golongan bukan Islam yang tidak ekstrem," katan Abdul Hadi lagi.

Katanya, PAS membatalkan tahaluf dengan pihak lain yang nyata bermusuh terhadap Islam secara langsung atau menentang agenda Islam.

Begitu juga katanya pihak yang menentang secara tidak langsung dengan menjadi penghalang kepada pelaksanaan Islam.

"PAS dengan tegas menolak sebarang kerjasama dengan semua pihak yang nyata atau mempunyai tanda-tanda seperti yang disebutkan di atas," katanya lagi.

Tiada ulasan: