HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Februari 2021

Ahli PAS diarah pakai baju berlogo parti setiap Sabtu

HARAKAHDAILY


ALOR SETAR: Pemimpin dan ahli PAS di setiap peringkat diarahkan memakai baju berlogo parti setiap Sabtu bermula hari ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ustaz Ahmad Yahaya berkata, hal itu bertujuan untuk membakar semangat semua anggota parti terutama apabila berada di tengah masyarakat.

“Ia juga menjadi pendorong supaya lebih bekerja keras untuk kemenangan Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) nanti bersama rakan muakafat seluruh Kedah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, tindakan itu merupakan saranan Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor untuk direalisasikan di negeri ini.

Kata Ustaz Ahmad lagi, hal demikian juga untuk membangkitkan semangat ahli-ahli parti dalam suasana pandemik Covid-19 yang menghalang perhimpunan besar-besaran.

“Biar semangat pemimpin dan ahli PAS Kedah ini sentiasa berkobar-kobar untuk bekerja kuat melaksanakan tanggungjawab.

“Apatah lagi PAS sebahagian parti yang memimpin pentadbiran kerajaan negeri bersama rakan-rakan Perikatan Nasional (PN),” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Negara itu berkata, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mahukan momentum mempertahan kemenangan PN terus subur di hati pemimpin serta ahli PAS.

“Semangat akan lebih berkobar-kobar apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan PRU15 bakal diadakan apabila selesai sahaja tempoh darurat ini,” sambung beliau.

Sebelum ini, pemakaian baju berlogokan parti sudah pun dilakukan apabila melaksanakan aktiviti kemasyarakatan seperti ziarah, gotong royong, penyampaian sumbangan dan lain-lain. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: