Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata akan mengambil tindakan undang-undang susulan dituduh 'campur tangan' dalam mengubah isi kandungan buku teks sejarah sekolah.
"Kesemua tuduhan Datuk Yazid Othman adalah tidak berasas, berniat jahat dan tidak munasabah.
"Saya akan berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan tegas bagi mempertahankan diri dan kredibiliti saya semasa menjalankan tugas sebagai timbalan menteri pendidikan," kata Teo Nie Ching ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Yazid Othman yang mewakili kumpulan pendesak pendidikan membuat dakwaan berkenaan semasa sesi perbincangan bersama Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang disiarkan di laman Facebook, bertajuk ‘buku teks sejarah dimanipulasi-komunis pula diagungkan?, malam tadi.
Yazid, timbalan pengerusi kepada Sekretariat Gabungan NGO Tolak Buku Teks Sejarah Tingkatan Empat (BST4) mendakwa ada "tangan ghaib" memanipulasikan kandungan buku teks sejarah Tingkatan Empat termasuk 'mengagung-agungkan komunis' sebagai pejuang kemerdekaan.
Pada perbincangan malam tadi, Yazid Othman berkata dakwaan itu dibuat berdasarkan maklumat yang diperolehinya sendiri selepas bersemuka dengan pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Saya bertanggungjawab atas apa yang saya cakap. Saya dapat maklumat, kami mendapat maklumat setelah kami membuat permohonan kepada KPM untuk bersemuka dengan bahagian tertentu dalam bahagian KPM.
"Saya tidak mahu mendedahkan kerana mereka dalam bahaya misalnya.
"Orang dalaman sendiri memberi maklumat kepada kita, dia terima panggilan telefon daripada timbalan menteri pendidikan PH, perempuan berbangsa Cina itu, mengatakan kamu ubah buku sejarah ini dengan maklumat yang saya sedang kirim sekarang.
"15 minit lagi sampai kepada kamu. Bila terima kamu terus cetak," dakwanya.
Walaupun tidak menyebut nama, namun jelas Teo Nie Ching ialah timbalan menteri pendidikan pentadbiran PH berketurunan Cina yang dimaksudkan itu.
Bagaimanapun, Yazid tidak mendedahkan tarikh pertemuan pihaknya bersama sumber dalaman KPM itu atau perincian kejadian 'campur tangan' itu.
Sebaliknya, Yazid berkata gerakan menyiasat manipulasi terhadap buku sejarah Tingkatan 4 terbabit bermula ada penghujung tahun 2019 dan melibatkan 73 kumpulan lain.
Mengulas lanjut, Yazid berkata selain wujud campur tangan individu berpengaruh dalam KPM pada ketika itu, dia juga turut mendakwa berlaku penyelewengan fakta dalam olahan buku tersebut apabila beberapa sukatan yang telah disusun ketika pentadbiran BN telah diubah semula.
Malah ketika ditanya Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki bahawa tuduhan itu sangat serius, Yazid sedia bertanggunggjawab atas kenyataanya itu.
"Betul, saya bertanggungjawab atas apa yang saya cakap dan apabila kami melihat buku yang dibawa oleh Pembela, kami terus mengambil serius perkara ini dan membuat perjumpaan khusus di Kampung Baru.
"Kami berbincang yang antaranya termasuk pakar-pakar sejarah negara, ahli undang-undang dan termasuk peminat politik tanah air.
"Dan di sinilah satu keputusan dibuat untuk bedah siasat secara serius penyelewengan berlaku dalam buku teks tingkatan 4 ini," dakwanya lagi.
Menurut Yazid, bermula 20 Januari 2020 pihaknya memulakan siasatan berhubung perkara itu.
"Kami siasat dan kami pergi ke kementerian.Kami ambil maklumat dan kami dapat maklumat bahawa penyelewengan ini berlaku daripada tangan yang disebut tangan ghaib daripada KPM mengarahkan pegawai-pegawai tertentu di KPM supaya menukar fakta-fakta yang ada dalam buku sejarah tingkatan 4 ini, yang dikatakan terlalu banyak pengaruh, kononnya.
"Ini sejarah, sejarah tetap sejarah ia tidak boleh dipinda dan tidak boleh diubah, tetapi dipinda dan dimasukkan pejuang-pejuang yang antaranya yang membuatkan kami tersinggung adalah pejuang-pejuang yang berhaluan kiri termasuk pejuang komunis,” katanya sambil memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis supaya ia disiasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan