HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Februari 2021

Bekas IGP gagal batal saman fitnah Hannah Yeoh

Malaysiakini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas ketua polis negara, Musa Hassan untuk membatalkan saman fitnah yang dikemukakan bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Hannah Yeoh terhadapnya.

Pada 3 Julai tahun lalu, ahli parlimen DAP itu memfailkan saman terhadap Musa berhubung tuduhan yang dibuat dalam ucapannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada awal 30 Januari tahun lalu.

Pada 5 Februari tahun lalu, Musa dilapor disiasat oleh polis berhubung ucapan yang disampaikan di sebuah forum di UiTM pada tarikh yang sama dengan ucapan tersebut.

Forum bertajuk "Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?" itu dianjurkan oleh Institut Raja-Raja Melayu UiTM.

Dalam ucapannya, Musa didakwa antara lain mencadangkan DAP menerbitkan sebuah buku mengenai peranan orang Melayu di sebalik peristiwa rusuhan 13 Mei.

Pada 29 Oktober tahun lalu, dilaporkan defendan memohon membatalkan saman fitnah berkenaan, dengan alasan bahawa kenyataannya dibuat dalam acara tertutup.

Ketika dihubungi hari ini, peguam Yeoh, Lim Wei Jiet mengesahkan Mahkamah Tinggi tidak membenarkan permohonan Musa untuk membatalkan saman berkenaan.

"Hakim Mahkamah Tinggi Rozana Ali Yusoff menolak permohonan pembatalan, dengan kos RM3,000 diberikan kepada Hannah Yeoh.

"Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 2 April," kata Lim.

Musa diwakili oleh peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dan Muhammad Afiq Qiwamuddin.

Melalui saman fitnah itu, Yeoh mendakwa ucapan itu mengandungi kenyataan fitnah yang "sama sekali tidak benar; merendahkan, menyusahkan, palsu, salah dan tanpa asas."

Plaintif juga mendakwa ucapan defendan itu "telah dirancang terlebih dahulu, dibuat dengan niat jahat, digerakkan oleh niat jahat pihak defendan untuk merosakkan, mencemarkan nama baik, memfitnah, mencederakan dan/ atau memusnahkan reputasi plaintif dalam persepsi orang ramai dan selanjutnyya mendedahkan plaintif kepada kebencian awam, ejekan dan skandal."

Yeoh menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan.

Dia juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah injuksi untuk menghalang Musa, sama ada dirinya sendiri, pegawainya atau ejennya daripada "menyebutkan, menerbitkan, menyebabkan untuk disebutkan dan/ atau menyebabkan untuk diterbitkan," perkataan yang didakwa bersifat memfitnah itu.

Yeoh juga memohon kos dan relief "yang dianggap wajar oleh mahkamah."

Tiada ulasan: