KOTA KINABALU: Warisan,
yang memerintah Sabah sebagai negeri pembangkang selepas pilihan raya
umum lalu, mungkin akan beralih kepada parti dan gabungan lain
berbanding bekerjasama dengan parti Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad
pada pilihan raya umum akan datang (PRU15), kata penganalisis.
Ini
kerana tidak banyak yang boleh ditawarkan Pejuang – yang statusnya
masih tergantung akibat pendaftarannya yang ditolak Jabatan Pendaftaran
Pertubuhan Malaysia (JPPM) – kepada parti Sabah itu dalam usahanya untuk
kembali sebagai kuasa besar politik di negara ini.
Pensyarah
kanan Universiti Malaysia Sabah Romzi Ationg berkata, spekulasi yang
semakin mendapat perhatian adalah Warisan akan bekerjasama dengan
Barisan Nasional (BN)-Umno pada PRU15.
Beliau berkata, wujud
desas-desus dalam kalangan ahli politik bahawa Warisan juga sedang
meninjau semula perjanjiannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan dengan itu
memerlukan pengganti yang kuat untuk memastikan kelangsungannya
sekiranya ia berpisah dengan PH.
“Apa-apa mungkin berlaku dalam
politik, tetapi saya rasa tidak elok untuk Warisan memberi tumpuan
kepada Mahathir dan Pejuang,” katanya kepada FMT.
“Presiden
Warisan Shafie Apdal, yang bersama dengan pemimpin PH Anwar Ibrahim
disebut-sebut sebagai calon perdana menteri, harus menumpukan perhatian
dalam mengukuhkan cengkaman partinya ke atas Sabah dan juga politik
persekutuan dengan bekerjasama dengan parti yang dianggap lebih relevan
kepada politik Malaysia.
“Kerjasama politik (yang harus
diusahakan Warisan) juga harus mampu menjadikan Sabah sebuah negeri maju
setara dengan negeri lain di semenanjung,” katanya.
Romzi
mengulas cadangan penganalisis sosiopolitik Azman Awang Pawi bahawa
Warisan mungkin akan menyokong Mahathir pada PRU15 kerana “hubungan
peribadi” Shafie dengan bekas perdana menteri itu.
Walaupun
beliau tidak yakin 100% bahawa Warisan akhirnya akan bekerjasama dengan
musuh politiknya kini, Romzi berkata, parti itu mungkin akan lebih suka
bekerjasama dengan BN-Umno kerana ia lebih stabil berbanding Perikatan
Nasional.
Shafie sendiri adalah bekas naib presiden Umno dan mempunyai ramai kawan rapat dalam kalangan pemimpin Umno.
Romzi
berkata, Warisan dan BN-Umno dapat saling melengkapi, dengan Warisan
memerlukan sekutu untuk memperoleh lebih banyak kerusi pada PRU15 dan
BN-Umno memerlukan parti tempatan yang kuat untuk menolong mengukuhkan
kedudukannya di Sabah.
“Kenapakah Warisan akan memilih BN-Umno
berbanding PN? Antara sebabnya adalah Umno masih kuat di semenanjung
(berbanding PN),” katanya.
Masih belum terjamin sama ada pakatan
seperti itu akan wujud kerana timbalan presiden Warisan, Darell Leiking,
sebelumnya berkata, partinya tidak mungkin akan bergabung dengan Umno.
Ini
susulan dakwaan bahawa ramai Ahli Parlimen daripada parti semenanjung
itu dan BN menyokong Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.
Umno Sabah adalah sebahagian daripada pakatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bersama-sama dengan PN dan Parti Bersatu Sabah.
Semalam,
ADUN Warisan Hassan A Gani Pg Amir meninggalkan Warisan untuk kembali
kepada GRS, yang kini bersekutu dengan kerajaan PN.
Namun,
pemerhati politik menganggap hubungan antara Umno Sabah dan sekutu
GRSnya meruncing, terutama dengan PPBM Sabah selepas ketegangan mengenai
jawatan ketua menteri berikutan pilihan raya negeri tahun lalu.
Umno
Sabah membantu GRS memperoleh majoriti tipis 38 kerusi, tetapi
menyerahkan jawatan ketua menteri kepada PPBM Sabah, yang menimbulkan
kemarahan sejumlah pemimpin Umno.
Timbalan dekan Universiti
Sarawak Malaysia Arnold Puyok berkata, kerjasama Warisan dengan BN-Umno
mungkin tidak dapat diterima oleh sebilangan penyokongnya.
“Tetapi
Warisan harus sedia bekerjasama dengan siapa pun jika ia ingin sekali
lagi menjadi pucuk pimpinan,” katanya, sambil menambah, Warisan masih
mempunyai pilihan sekutu politik bagi PRU15
Beliau juga berkata,
Warisan mungkin akan lebih rugi sekiranya parti itu memihak kepada
Mahathir, yang menurutnya adalah individu yang menyebabkan pecah belah
di kedua-dua Sabah dan Sarawak.
“Warisan sepatutnya sudah menyedari bahawa Mahathir sedikit sebanyak boleh dipersalahkan atas kejatuhan PH.
“Bagi Warisan, risiko bekerjasama dengan Pejuang jauh lebih besar berbanding manfaat,” katanya.
Tony
Paridi Bagang dari UiTM Sabah, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan
Romzi dan Puyok, dan percaya bahawa Warisan akhirnya akan memilih untuk
mengekalkan pakatan politiknya dengan PH, tetapi bekerjasama dengan
Pejuang pada masa yang sama.
“Kerjasama Warisan-Pejuang dapat
dilihat sebagai usaha untuk menjadi penentu kemenangan dalam pilihan
raya akan datang,” katanya.
Sama ada ia diterima oleh PH adalah isu lain, katanya, tetapi seperti yang terbukti dalam sejarah, apa-apa sahaja mungkin berlaku dalam politik Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan