HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Februari 2021

Politik Sabah : Dakwaan Adun Warisan keluar ramai-ramai satu fitnah

Radhi Muslim
Politik Sabah : Dakwaan Adun Warisan keluar ramai-ramai satu fitnah
Pada sidang media itu, Adun Gum-Gum, Arunarsin Taib berkata, gambar tular 
kononnya akan ada lagi Adun keluar parti itu adalah satu perbuatan fitnah. - 
Foto Astro AWANI
 
SANDAKAN: Desas-desus mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Warisan Sabah (Warisan) di pantai timur negeri itu keluar beramai-ramai meninggalkan parti adalah satu fitnah.
 
Tegas Adun Gum-Gum, Arunarsin Taib, semua Adun di pantai timur Sabah termasuk beliau kekal utuh dan menyokong kepimpinan Warisan dan presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
 
Tambahnya, ia termasuk beberapa Adun di Parlimen Sandakan dan Batu Sapi.
 
"Gambar tular kononnya akan ada lagi Adun keluar Warisan dan menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah satu perbuatan fitnah. Kita di Sabah ini kekal dengan Warisan dan Warisan Plus," katanya dalam satu sidang media di Sandakan, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Adun Sekong, Alias Sani membidas tindakan Adun Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang keluar Warisan.
 
Katanya, beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan lompat parti dari mana-mana pihak termasuk cubaan pihak tertentu membeli Adun atau Ahli Parlimen.
 
"Saya terkilan dengan tindakan Adun Sebatik kerana kami menjadi wakil rakyat atas kepercayaan presiden (Warisan) dan parti kami selain menjadi wakil rakyat atas kepercayaan rakyat di kawasan kami.
 
"Seharusnya, wakil rakyat memberi fokus membantu rakyat ketika pandemik ini bukan melompat parti ketika rakyat begitu susah," katanya.
 
Terdahulu, Adun Sebatik mengisytiharkan keluar Warisan menjadi Adun Bebas serta menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
 
Susulan itu, pelbagai desas desus tersebar kononnya beberapa lagi Adun akan melakukan perbuatan sama.

Tiada ulasan: