HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2021

Lihat perkara baik Langkah Sheraton, penyokong PH diberitahu

Staff Writers MALAYSIA NOW

Kata Wong Chin Huat Langkah Sheraton membawa satu era baru dalam gabungan politik yang tidak rigid dengan parti-parti politik bersedia untuk berkompromi.

Seorang pengkritik kerajaan menyeru penyokong pembangkang untuk tidak lagi bersikap superior dan menerima kesan positif daripada perubahan sejak setahun yang lalu yang menyaksikan Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri selepas tumbangnya pentadbiran Pakatan Harapan.

Wong Chin Huat, pensyarah sains politik Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah Universiti Sunway berkata, antara aspek positif ialah Umno kini dipaksa menerima kebebasan bersuara dan demokrasi, yang merupakan perkara ditolak parti itu satu ketika dahulu.

Pada masa sama, dia mengatakan selepas Langkah Sheraton – satu siri mesyuarat untuk membentuk kerajaan dominan Melayu yang baru – membawa satu era baru dalam gabungan politik yang tidak rigid dengan parti-parti politik bersedia untuk berkompromi.

“Biar saya tunjukkan kepada anda apa yang tidak sering diberitahu – oleh kerana dunia ini kompleks, walaupun peristiwa buruk seperti Langkah Shereton mungkin secara tidak sengaja mempunyai kesan positif yang tidak diingini,” tulis Wong dalam Malaysiakini, dan menambah pandangannya mungkin akan dikecam pembaca setia portal tersebut.

Katanya penyokong pembangkang perlu melihat kepada perkara “menguntungkan yang tidak dijangka dan disengajakan”, dan bukan “berputus asa atau meletak diri sebagai suci” dengan bertali arus mengkritik pentadbiran Muhyiddin sebagai “kerajaan pintu belakang”.

Wong menyenaraikan enam perkara “menguntungkan” Malaysia selepas berlakunya Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Perkara pertama dalam senarai itu adalah mengenai perang ahli politik Melayu dalam blok kerajaan sekarang ini menolak tanggapan bahawa kerajaan PH tidak stabil disebabkan ketegangan antara komponen Melayu dan bukan Melayu.

“Tetapi Umno, Bersatu dan PAS bertengkar hampir setiap hari seperti tiga beradik mengejar cinta yang sama, pengundi Melayu. Mereka adalah semuanya kecuali bersatu,” katanya, dengan memberi analogi bahawa kerajaan Muhyiddin sebagai “program pemulihan mengenai ketagihan perkauman kita”.

“Mungkin perdana menteri sebenarnya adalah penyamar ‘Malaysia Dahulu’, kata Wong, merujuk kepada kenyataan Muhyiddin beberapa tahun lalu bahawa bangsanya didahulukan berbanding kewarganegaraan Malaysianya.

Katanya Umno sekarang tidak mempunyai “pilihan” selain bercakap mengenai kesederhanaan, demokrasi berpalimen, kebebasan akhbar dan kedaulatan undang-undang.

Katanya suara-suara menentang ahli politik Umno di dalam kerajaan PN merupakan perkembangan yang baik untuk parti Melayu itu.

Wong berkata kegagalan Pakatan Harapan untuk memberi layanan adil kepada pembangkang ketika mereka berkuasa kini kembali menghantui gabungan itu.

Wong berkata antara lain, kerajaan PH gagal memberikan peruntukan sama rata kepada ahli Parlimen pembangkang.

Bagaimanapun, dia mengatakan PH sekarang pula bertindak menuntut peruntukan yang sama rata sebagai balasan untuk “gencatan senjata” di tengah-tengah cubaan merampas kuasa oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad.

Katanya ia dapat dilihat di Perak, Johor dan Perlis, apabila kerajaan negeri dipimpin Umno memberikan peruntukan kewangan lebih baik kepada kawasan dikuasai pembangkang.

Katanya parti-parti politik kini juga bersedia berkompromi terhadap dasar-dasar bagi memastikan perkongsian kuasa ketika ketiadaan majoriti mutlak.

“Jika parti A mengusulkan kadar cukai 10% dan parti B hanya 5%, kedua-dua parti boleh meraikan kemenangan mereka jika mereka membentuk kerajaan gabungan yang dipersetujui pada 7.5%,” tambahnya.

Katanya pada pilihan raya akan datang mungkin akan menyaksikan gabungan berbeza mengikut negeri-negeri.

“Pilihan Raya Umum ke-15 mungkin juga akan membentuk gabungan pasca pilihan raya berbeza-beza di peringkat persekutuan dan juga di setiap negeri, mendesentralisasikan termasuk parti politik.”

Tiada ulasan: