HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2021

Azmin Ali ketuai mesyuarat Jabatan Pilihan Raya Perikatan Nasional

Astro Awani
 
Azmin Ali ketuai mesyuarat Jabatan Pilihan Raya Perikatan Nasional
Mesyuarat Jabatan Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan 
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berlangsung di Putrajaya pada Rabu malam. - 
Foto Twitter Azmin Ali
 
KUALA LUMPUR: Anggota parti dalam Perikatan Nasional (PN) bersetuju supaya struktur pilihan raya di peringkat negeri segera dibentuk.
 
Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Jabatan Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Putrajaya pada Rabu malam.
 
"Mesyuarat menetapkan untuk memperkukuh kerjasama utuh melalui gerak kerja pilihan raya demi menjana dukungan rakyat.
 
"Struktur pilihan raya di peringkat negeri akan segera dibentuk dengan menampilkan citra PN yang mendakap prinsip kepelbagaian dan keharmonian," kata Mohamed Azmin menerusi hantaran status di media sosial beliau.
 
Menurut beliau, mesyuarat itu berlangsung dengan kehadiran semua Pengarah Pilihan Raya parti-parti anggota PN meliputi Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
 
Menerusi hantaran itu, mesyuarat tersebut dilihat diadakan secara fizikal dan dalam talian.
 
Dilihat hadir secara fizikal adalah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Pengarah Pilihanraya Gerakan, Datuk Lau Hoi Keong.

Tiada ulasan: