HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Februari 2021

Larry Sng letak jawatan Ketua PKR Sarawak

Astro Awani
Larry Sng letak jawatan Ketua PKR Sarawak
Sng dilapor mengumumkan peletakan jawatan beliau dalam satu sidang video 
pada Sabtu. -Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dilapor meletak jawatan sebagai ketua PKR Sarawak.
 
Menurut sumber parti yang dipetik portal The Star, Sng dilapor telah mengumumkan peletakan jawatan beliau dalam satu sidang video pada Sabtu.
 
Perkara ini disahkan setiausaha PKR Sarawak, Joshia Jabeng.
 
Selain Sng, sumber turut mendedahkan Ahli Parlimen Tebrau, Stephen Choong bertindak keluar parti.
 
Pada 21 Disember tahun lalu, Sng umum akan mengundur diri sebagai ketua PKR Sarawak yang diambil alih beliau pada Mei selepas Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian meninggalkan parti itu.
 
Beliau berkata keputusan itu bagi membolehkan pemimpin Dayak mengambil alih jawatan sekali gus memimpin parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) tamat Jun depan.
 
Walau bagaimanapun, peletakan jawatan' itu tidak dibuat secara rasmi.
 
Sementara itu, Pengerusi PKR Cabang Bandar Kuching Dominique Ng percaya Sng akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.
 
Bekas ADUN Padungan itu berkata beliau sedia maklum tentang 'khabar angin' yang bertiup 'tanpa henti' sejak sekian lama.
 
“Jika YB Larry meletak jawatan sebagai Pengerusi PKR Sarawak, beliau pasti akan memaklumkan kepada parti tidak lama lagi dan parti akan buat pengumuman," kata Ng sepertimana dipetik portal The Borneo Post.
 
“Dahulu, khabar angin ini disahkan palsu. Mungkin kali ini berbeza.
 
"Biar YB Larry (Sng) sendiri keluarkan kenyataan," kata Ng lagi.
 
Sementara itu, portal DayakDaily dalam laporannya hari ini memetik sumber yang mengesahkan Sng meletak jawatan sebagai Pengerusi PKR Sarawak.
 
Malah, satu mesyuarat turut diadakan hari ini bagi membincangkan peletakan jawatan Sng.
 
Menurut sumber itu lagi, antara sebab peletakan jawatan Sng yang dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah dakwaan beliau memilih bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya umum akan datang.

Tiada ulasan: