HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Februari 2021

Tidak manis komponen PH terima ahli rakan sendiri- Salahuddin Ayub

MGF28112019_SIDANG-PARLIMEN_52
Datuk Seri Salahuddin Ayub.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub kurang senang dengan perkembangan terkini yang melanda pakatan pembangkang apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu bertindak menyertai PKR.

Berlandaskan prinsip setiakawan, katanya tidak sepatutnya mana-mana komponen Pakatan Harapan menerima ahli-ahli dalam kalangan rakan sendiri.

Ujarnya lagi, semangat berkenaan telah disepakati oleh semua parti dalam PH dalam membentuk gabungan itu.

“Memahami semangat setiakawan dalam PH, sepatutnya tidak manis mana-mana parti dalam komponen PH menerima mana-mana ahli parti rakan.

“Saya rasa semangat in adalah disepakati dalam mana-mana parti yang membentuk pakatan atau gabungan,” katanya dalam ciapan di laman Twitter.

Beliau merujuk laporan sebuah portal berita mengenai tiga ADUN Amanah di Johor menyertai PKR.

Tiga ADUN itu adalah Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota).

Terdahulu Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyeru Ahli Parlimen PKR supaya setia dan berpegang kepada prinsip perjuangan parti itu selepas mendakwa terdapat cubaan membawa ahli Parlimen dalam kalangan pembangkang keluar parti.

Usaha itu katanya, dibuat menerusi ugutan berkaitan isu cukai pendapatan, siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau melalui tawaran projek termasuklah jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: