HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Februari 2021

Maszlee hantar surat tuntutan maaf, ganti rugi fitnah kepada Asyraf Wajdi

Kasthuri Jeevendran
MGF111120_PC-MASZLEE-MALIK-11
Pengerusi Untuk Malaysia, Dr. Maszlee Malik bercakap pada Sidang Media Khas Gerakan #Untuk Malaysia di Perdana Lakeview, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menuntut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memohon maaf serta membayar sejumlah ganti kerana memfitnahnya dalam isu buku teks Sejarah Tingkatan 4.

Maszlee menuntut Asyraf Wajdi mengemukakan permintaan maaf secara terbuka setelah Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan semalam bahawa perubahan dalam buku teks berlaku pada bulan April 2018 ketika kerajaan ketika itu  masih di bawah pentadbiran UMNO-Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, beliau bertindak menghantar surat tuntutan kepada Asyraf Wajdi supaya menjadi pengajaran kepada semua tanpa mengira parti politik bahawa budaya fitnah berunsur perkauman perlu dihentikan.

“Saya sudah mendapat nasihat daripada peguam saya dan mengarahkan peguam saya untuk menghantar surat tuntutan kepada Asyraf atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan.

“Saya memberi arahan kepada peguam supaya surat tersebut menuntut Asyraf membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan kerana memfitnah.

“Budaya politik fitnah jahat ini perlu dihentikan kerana ia sedikit pun tidak menguntungkan rakyat.

“Sepatutnya sekarang ahli politik perlu fokus bantu rakyat dan memulakan budaya politik khidmat, bukan mencari salah, menuduh dan memfitnah sesuka hati,” tulisnya dalam Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, kata Asyraf Wajdi, Pemuda UMNO memandang serius unsur-unsur fakta yang dimanipulasikan dengan mengagung-agungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks Sejarah Tingkatan 4 KSSM.

Menurutnya, perkara itu seperti usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan PH memerintah bagi menanamkan ideologi Malaysian Malaysia dan secara halus menyucikan pemikiran pelajar.

Maszlee menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas sama sekali kerana sukatan dan silibus mata pelajaran itu diluluskan semasa pentadbiran BN dan bukannya ketika PH memerintah.

Beliau yang menerajui kementerian itu selama 20 bulan sejak Mei 2018 berkata, proses menggubal Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) untuk sesuatu subjek memerlukan proses yang panjang dan dijadualkan secara teratur. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: