HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2021

Usaha ambil alih kerajaan sekadar beri ubat tahan sakit – Hadi Awang

MGF010320_KEDIAMAN-MUHYIDDIN02
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditemani isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan diiringi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri), Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali (dua kiri) melambaikan tangan kepada para media sebelum mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke 8 di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – Usaha beberapa parti yang kini membentuk Perikatan Nasional (PN) dalam mengambilalih kerajaan umpama memberikan ubat tahan sakit untuk mengembalikan syiar Islam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan segala yang digerakkan oleh Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjurus kepada hasrat tersebut.

“Usaha pengambilalihan kerajaan yang dirampas oleh Pakatan Harapan (PH), gabungan yang didominasi oleh kalangan bukan Islam dan Islam liberal adalah sekadar ubat penahan sakit, sementara dilakukan rawatan selanjutnya.

“Tujuannya ialah untuk mengembalikan semula Islam sebagai penyelesaian dengan mengumpulkan umat Islam yang insaf serta menggabungkan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem ke arah merealisasikan masyarakat majmuk yang madani,” kata Abdul Hadi.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu berkata demikian dalam ucaptama perdana dan Majlis Penutupan Persidangan Antarabangsa Kesatuan Ulama Islam Sedunia dalam Sosio-Politik (CIMS 2021) secara maya hari ini.

Selasa lalu genap setahun ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan oleh pemerintahan yang didominasi oleh pimpinan ketiga-tiga parti itu.

Langkah itu kemudiannya membentuk kerajaan baharu Perikatan Nasional yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Abdul Hadi berkata, pendekatan untuk menukar kerajaan diambil secara demokrasi oleh Ahli-Ahli Parlimen di negara ini.

“Pendekatan yang diambil adalah secara muwajahah silmiyyah melalui demokrasi berparlimen dan menolak cara yang ekstrem dengan mencegah campur tangan asing dalam perang proksi sepertimana yang berlaku di Timur Tengah.

“Ini kita lakukan di Malaysia,” katanya lagi.

Untuk rekod, Isnin ini genao setahun Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.

Ia selepas susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari tahun lalu, sehingga mencetuskan krisis politik tanah air, menyaksikan kerajaan PH hilang kuasa dan perubahan gabungan parti-parti politik. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: