HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Februari 2021

Parti itu platform, pemimpin yang mencorakkannya - Penganalisis

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Parti itu platform, pemimpin yang mencorakkannya - Penganalisis
Menurut Prof Madya Dr Mohd Sohaimi Esa, sesebuah parti itu akan relevan 
apabila pemimpin parti itu dapat menunaikan amanah yang sepatutnya 
dilaksanakan. - Astro AWANI
 
KOTA KINABALU: Sesebuah parti politik adalah platform bagi suara rakyat dan pembangunan sesuatu tempat manakala tugas pemimpin adalah untuk mencorakkannya.
 
Selain itu parti politik juga bertindak sebagai platform penyatuan rakyat, kata Prof Madya Dr Mohd Sohaimi Esa, Pensyarah Kanan Integrasi Nasional Universiti Malaysia Sabah (UMS).
 
Jelasnya, beberapa parti di tanah air ketika ini berjaya mengolah langkah penyatuan itu dan berusaha menyempurnakan usaha pembangunan dan sosioekonomi.
 
"Parti politik bagi saya adalah sebagai platform sahaja, tetapi bagaimana pemimpin dalam parti itu mencorakkan hala tuju seperti pembangunan dan sosioekonomi masyarakat, dari situ kita dapat lihat 'survival' sesebuah parti itu.
 
"Parti itu akan relevan apabila pemimpin parti itu dapat menunaikan amanah yang sepatutnya dilaksanakan," katanya yang ditemui di Kota Kinabalu pada Sabtu.
 
Jelasnya, rakyat kini menilai pemimpin yang mampu menunaikan amanah dan melaksanakan tanggungjawab yang diharapkan.
 
Atas sebab itulah, kegagalan mengurus parti dengan baik hanya mengundang kemarahan rakyat.
"Sejarah mungkin boleh berulang tetapi bergantung kepada prestasi parti dan pemimpin... adakah seperti yang diharapkan rakyat.
 
"Cabaran sesebuah parti adalah dari sudut mengutamakan kebajikan rakyat.
 
"Tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 sebagai contoh dan hasilnya pemimpin-pemimpin ketika itu berjaya menambah baik polisi dan lahirlah Dasar Ekonomi Baru (DEB)," katanya.
 
Tambahnya, cabaran yang dihadapi di Semenanjung Malaysia bersifat plural dan ia jauh berbeza jika dibandingkan dengan senario politik di Sabah.
 
Bagaimanapun katanya, asas integrasi nasional yang sama boleh ditambah baik di negeri itu kerana pola masyarakat yang kompleks.
 
Tegasnya, 'survival' politik di Sabah sangat bergantung kepada keupayaan sesebuah parti menyeimbangkan perpaduan dan membangunkan sosioekonomi.
 
"Di Sabah ini ia begitu kompleks. Sabah tidak sama seperti Semenanjung. Di Semenanjung, sentimen politik bersifat plural - Melayu, Cina dan India - berbanding di Sabah yang multi etnik.
 
"Kepelbagaian etnik ini menjadikan Sabah ada dinamik tersendiri, maknanya di sini sesebuah parti jika ingin survival seharusnya memikirkan tentang pembangunan terutamanya aspek sosioekonomi dan kita pun maklum di Sabah ini dari segi isu integrasi kaum itu menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.
 
"Jadi sebenarnya, polisi pembangunan atau yang kita katakan sebagai keperluan asas rakyat itu yang perlu diberikan perhatian seperti pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan dan sebagainya," tegasnya.

Tiada ulasan: